fbpx
Now Reading
Angkut Bot Guna Viva Dari Melaka Untuk Bantu Mangsa Banjir, Lelaki Ini Dapat Pujian Netizen

Angkut Bot Guna Viva Dari Melaka Untuk Bantu Mangsa Banjir, Lelaki Ini Dapat Pujian Netizen

Azwan menjelaskan yang dia melakukan semua itu dengan ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa ganjaran.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum pasti mengetahui negara sejak hujung minggu lalu dilanda banjir besar ekoran dari hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari antaranya di Selangor.

Keadaan dilihat begitu getir apabila banyak kawasan ditenggelami air dan terputus hubungan dengan dunia luar. Bukan itu sahaja ada di kalangan mangsa banjir yang terperangkap berjam-jam lamanya sementara menunggu bantuan untuk diselamatkan.

Peka dengan isu tersebut, banyak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu dari serata negeri turun padang dan berganding bahu menghulurkan bantuan.

Tidak terkecuali seorang pemuda dari Melaka yang sanggup membawa bot persendiriannya dengan menggunakan Perodua Viva demi membantu mangsa banjir.

Kisah lelaki yang dikenali sebagai Abang Azwan ini mula tular selepas dikongsikan seorang pengguna Twitter, @KulupKudin.

Difahamkan Azwan atau nama sebenarnya Azwan Bin Omar gigih mengangkut bot miliknya dari satu kawasan ke kawasan lain yang ditenggelami air antaranya di Shah Alam, Puchong dan seterusnya ke Sri Muda yang paling teruk terjejas.

Tidak harap sebarang ganjaran

Terharu dengan usaha yang dilakukannya, ramai yang menawarkan diri untuk menghulurkan sumbangan berupa wang antaranya untuk mengisi minyak kereta atau apa sahaja yang dapat membantu memudahkan urusan lelaki ini untuk menyelamat.

Namun Azwan menjelaskan yang dia melakukan semua itu dengan ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa ganjaran.

Dia kemudian memberikan no akaun bank miliknya agar orang ramai boleh menyalurkan bantuan tunai untuk diberikan kepada mangsa-mangsa banjir.

“Minta maaf, saya bukan tak sudi terima sumbangan apa-apa, tapi saya datang jauh tolong ikhlas sebab ni semua saudara kita juga.

“Kalau nak beri sumbangan, saya akan salurkan untuk diorang juga dan bukan untuk saya. Saya tak minta apa-apa balasan,”

Perkongsian tersebut membuatkan ramai netizen berasa sebak. Ramai yang mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepadanya tidak kurang juga yang mendoakan agar urusannya membantu mangsa dipermudahkan.

Menerusi akaun Facebok persendirianya, Azwan difahamkan masih lagi berada di Selangor membantu mangsa banjir.

Malah videonya turut tular di TikTok apabila seorang mangsa banjir tanpa sengaja telah menumpang botnya untuk keluar dari kawasan yang dinaiki air.

@syafiqyzd

tak perasan member satu bot dengan abang viral viva 🤣 Terima kasih abang viral 🙏🏼 #fyp #foryoupage #fypシ #viral #viralvideo

♬ Helikopter – Fazlija

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.