fbpx
Now Reading
Ungkapan ‘Wartawan Cilik’ Tidak Tepat, Perlekeh Profesion Wartawan Kata Tokoh Akademi

Ungkapan ‘Wartawan Cilik’ Tidak Tepat, Perlekeh Profesion Wartawan Kata Tokoh Akademi

Jelas beliau, apa yang dilakukan kanak-kanak cilik ini ialah satu proses pelaporan berita, dan tugas itu memenuhi fungsi sebagai pemberita.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Jika anda ingat sekitar bulan lalu, nama adik Muhammad Haziq Mohd Asyraf secara tiba-tiba menjadi popular selepas video dia melakukan ‘laporan langsung’ penemuan ular sawa di sebuah pasar di Bukit Selambau, Kedah menjadi tular.

Kepetahan beliau mengulas insiden tersebut secara bersahaja bukan hanya memukau orang ramai malah mendapat tumpuan media sehingga menerima gelaran wartawan cilik.

Bahkan kisah beliau turut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan juga Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang berkenan menghadiahkannya telefon bimbit.

Foto : Borneo Post

Namun siapa sangka ungkapan ‘wartawan cilik’ yang diberikan kepada Mohd Asyraf yang turut dijadikan sebagai tajuk berita kurang disenangi tokoh akademi dan pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican.

“Ungkapan tidak tepat”

Beliau yang merupakan Pensyarah Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berpendapat penggunaan istilah berkenaan adalah tidak tepat meskipun penggunaannya hanya bersahaja.

“Penggunaan ungkapan ‘wartawan cilik’ bagi tajuk berita dan cerita seperti ini (dan telah berkali-kali digunakan) amat tidak tepat lalu memesongkan, merendahkan dan memperlekehkan profesion kewartawanan itu sendiri.

“Walaupun penggunaan seperti ini mungkin bersahaja, dalam memaparkan satu slanga, atau memaparkan kecilikan seorang kanak-kanak, Ia tidak sepatutnya dipandang ringan,” kata Prof Ahmad Murad yang juga Presiden Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia (MJTS).

Itu adalah laporan berita

Foto : YT Awani

Jelas beliau, apa yang dilakukan kanak-kanak cilik ini ialah satu proses pelaporan berita, dan tugas itu memenuhi fungsi sebagai pemberita.

“Yang dilakukan oleh budak tersebut ialah melaporkan sesuatu kejadian dengan meniru apa yang dilihatnya. Apa yang dilihatnya dari tugasan melaporkan berita di televisyen bukanlah dapat dipaparkan menggunakan istilah ‘kewartawanan.’ Apa yang dilihat dan dilakukanya ialah proses melaporkan berita atau pemberitaan dan petugas itu memenuhi fungsi sebagai pemberita.

“Pemberitaan adalah satu fungsi dalam profession kewartawanan. Tugas dan fungsi editor dalam menulis lidah pengarang, komentar, pendapat, esei, penulisan rencana, pengurusan berita, penulisan kolum.

Mengulas lebih lanjut, pakar akademi tersebut turut merasakan tidak semua orang boleh menjadi wartawan kerana ianya adalah satu profesion dan institusi yang mempunyai nilai serta ideologinya sendiri.

“Semuanya adalah fungsi profesion kewartawanan. Pemberita, penerbit, editor berita, editor halaman lidah pengarang, Ketua editor, editor sukan, editor ekonomi, editor jenayah, editor sains – semua itu jawatan dalam organisasi media; semua itu merupakan ahli kepada profession kewartawanan, dan semua digelar wartawan.

“Mereka yang melakarkan tajuk berita dalam hal ini harus/mesti/patut membezakan antara fungsi/jawatan/profesion. Golongan wartawan mesti meningkatkan kefahaman mereka mengenai bidang mereka sendiri.

“Bukan semua boleh jadi wartawan. Editor dan wartawan (jika mereka sedar akan istilah itu) mesti menganggap kewartawanan sebagai satu profesion dan institusi. Ia ada nilai dan ideologinya sendiri,” kata beliau panjang lebar.

Foto header : Awani / Malaysia Gazette

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.