fbpx
Now Reading
Raja Bomoh Dakwa Dapat Jemputan Untuk Pagar PRN Johor Dari Covid-19

Raja Bomoh Dakwa Dapat Jemputan Untuk Pagar PRN Johor Dari Covid-19

Malah dia mendakwa telah melakukan perkara sama sewaktu PRN Melaka.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Raja bomoh atau nama betulnya  Ibrahim Mat Zin sedang disiasat atas dakwaan menghina agama Islam dan melanggar fatwa negeri Perak hari ini mendakwa telah menerima jemputan dari beberapa ahli politik untuk melakukan ritual bagi mencegah penularan Covid-19 di pilihan raya negeri (PRN) Johor bulan depan.

Menerusi laporan Malaymail, dia yang ditemui media sewaktu prosiding kesnya di Mahkamah Syariah Ipoh berkata baru sahaja tiba dari Kuala Lumpur dan perlu ke Johor selepas ini untuk melakukan ritual berkenaan.

Malah menurut Ibrahim, kehadirannya di sana bukanlah tanpa undangan sebaliknya dijemput khas untuk mengadakan ritual tersebut.

“Saya dari Kuala Lumpur pada pagi tadi dan datang ke Ipoh untuk urusan kes mahkamah saya. Selepas ini, saya akan bertolak ke Johor.

“Saya ada urusan di Johor untuk PRN. Ada segelintir ahli politik jemput saya datang ke sana untuk ‘memagar’ Johor Bahru daripada Covid-19.

“Jika ahli politik tak jemput saya, maka tiada sebab untuk saya pergi. Kami menyokong semua parti di negara ini jadi kami akan mengikut jemputan mereka,” kata Ibrahim.

Dia bagaimanapun tidak menyebut siapakah gerangan ahli politik yang menjemputnya ke sana.

Menerusi laporan Utusan, dia yang berterima kasih di atas sokongan orang ramai turut mendakwa telah melakukan perkara sama sewaktu PRN Melaka.

“Dulu saya buat (memagar) di PRN Melaka, saya buat, semua tak kena. Syukur kepada Allah. Hari ini buat di Johor. Jadi  saya ucap terima kasih kerana bagi sokongan pada saya,” katanya lagi.

Tambah Ibrahim lagi, dia sebenarnya sudah lima hari berada di Johor bagi menyelesaikan ritual memagarnya itu. Namun dia terpaksa pulang sebentar ke Perak bagi menyelesaikan kesnya di mahkamah.

“Saya doakan politik Johor semuanya baik, PRN semua baik, tiada halangan apa-apa,” katanya.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.