Pengunjung Teruja Lihat Laut Terbelah Di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi
Fenomena yang jarang berlaku ini membuatkan orang ramai nak pergi Langkawi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pulau Langkawi adalah sebuah destinasi pelancongan yang sering menjadi tumpuan orang ramai, tidak kiralah pelancong dari dalam negara atau pun luar.
Lebih menyeronokkan lagi apabila pengunjung dapat melihat keadaan laut terbelah di Pantai Tanjung Rhu, semalam.
Situasi ini difahamkan terjadi kerana berlakunya fenomena air laut surut penuh sehingga menghasilkan pembentukan beting pasir di pantai itu.
Sehubungan itu, fenomena air surut penuh ini berlaku selama sejam bermula sejak pukul 7 pagi, malah ia juga berlaku hanya setahun sekali.
Ia membuatkan para pengunjung tidak melepaskan peluang untuk berjalan sepanjang 600 meter dari pantai hingga ke tengah laut.
Beting pasir yang terbentuk itu dikatakan terbentuk dari Pulau Kelam Baya sehingga menghampiri Pulau Cabang.
Melalui gambar yang dikongsikan oleh Fairuz Falijah di akaun Facebook beliau, pengunjung di pantai itu telah mula berkumpul sejak pagi lagi.
“Ini merupakan pengalaman pertama saya untuk melihat sendiri fenomena ini, malah saya dapat menyaksikan beberapa hidupan laut seperti anak ikan pari, koral laut dan terdapat juga beberapa pengunjung yang mengambil peluang untuk mengutip hidupan laut seperti siput di tepi beting.
”Saya bergerak selepas subuh kerana khuatir tidak sempat untuk menyaksikan fenomena itu, saya difahamkan siren amaran untuk berpatah semula ke pantai akan dibunyikan pada pukul 8 pagi,” kata Fairuz kepada BuzzKini.
Menurut Utusan, seorang pemandu pelancong alam semula jadi, Zoher Mustan, 57, menyatakan sejak tahun 2008 lagi beliau telah mula membawa pengunjung untuk berjalan di tebing pasir itu.
“Pengunjung yang berjalan di beting pasir itu juga dapat melihat sendiri secara dekat hidupan laut seperti tapak sulaiman, ikan sebelah, pena laut serta banyak lagi,” kata Zoher.
Namun begitu, beliau percaya kebiasaanya fenomena unik ini berlaku sehari sahaja.
Akan tetapi, tahun ini sedikit berbeza apabila fenomena ini berlaku sebanyak tiga kali iaitu pada 3 Februari lalu, semalam (3 Mac) serta hari ini.
Pengurus Besar Resort Tanjung Rhu, Ameran Mohd, Sharil menyatakan tahun ini resortnya mengadakan acara berjalan kaki di tebing pasir untuk menarik pengunjung serta dapat memberi pengunjung merasai pengalaman yang unik.
Tambahnya lagi, acara ini telah menerima seramai 200 peserta yang dipandu oleh penasihat alam semula jadi yang menunjukkan spesies hidupan laut kepada mereka.
Dalam memastikan keselamatan pengunjung, program ini telah mendapatkan kerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta polis.
Lebih-lebih lagi, siren akan dibunyikan oleh APM sebagai amaran buat pengunjung yang hadir ke program ini untuk berpatah balik sebelum air pasang semula.