fbpx

Tular Anggota Trafik Tawar Saman RM100 Kepada Vlogger UK, Polis Jalankan Siasatan [Video]

Polis sedang menyiasat dakwaan berhubung tindakan anggota trafik berkenaan yang menawarkan pembayaran saman RM100 ke atas pasangan YouTuber, Tread The Globe dari UK itu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Jika anda pengguna tegar Facebook atau YouTube, pasti belakangan ini kerap muncul video mengenai pasangan vlogger, Tread The Globe dari United Kingdom (UK) iaitu Chris dan Marianne yang sedang dalam misi jelajah dunia.

Meskipun pasangan ini sudah lama terkenal di dunia barat dengan konten-konten pengembaraan mereka, namun mereka semakin menjadi sebutan di negara kita sejak kedatangan pasangan suami isteri itu ke Malaysia sebulan yang lalu.

Dengan menggunakan van transit Fiat Ducato milik mereka, pasangan vlogger ini kemudian meneroka negeri-negeri di Malaysia sebelum video pengembaraan itu dimuat naik ke akaun YouTube dan media sosial mereka.

Kongsi video ditahan polis ketika berada di Perak

Namun siapa sangka, hari ini (28 Januari) pasangan berkenaan yang baru sahaja meninggalkan Malaysia dan kini berada di Thailand telah memuat naik satu video menyaksikan mereka ditahan oleh seorang anggota polis trafik ketika mereka sedang dalam perjalanan ke Ipoh.

Difahamkan mereka ditahan gara-gara Marianne memandu melebihi had laju yang dibenarkan.

Menerusi video tersebut, anggota polis trafik berkenaan yang mukanya dikaburkan memberitahu kepada pasangan terbabit bahawa mereka telah memandu 80 kilometer sejam berbanding had laju yang dibenarkan iaitu 60 kilometer. Sehubungan itu dia perlu mengeluarkan surat saman terhadap mereka.

Pilih nak bayar RM100 sekarang atau bayar RM300 di balai polis

Namun apa yang mengejutkan adalah pasangan ini ditawarkan pilihan sama ada ingin membayar ‘saman’ sebanyak RM100 jika pembayaran dilakukan secara serta merta di tempat lokasi atau RM300 jika ke balai polis terdekat.

“Saya akan berikan anda surat saman dan anda pergi ke balai polis untuk membayarnya, jika bayar di balai, RM300. Bayar sekarang, RM100,” kata anggota polis trafik terbabit.

Chris kemudiannya memilih untuk membayar RM100 tunai kepadanya dan menerusi video tersebut tiada sebarang surat saman yang diberikan.

Perkongsian video tersebut mencetuskan tanda tanya di kalangan netizen baik di semua platform termasuk Twitter.

Ramai yang mahukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk segera menyiasat insiden tersebut memandangkan ia berjaya dirakam dan melibatkan warga asing.

Tidak kurang juga ada yang mahukan PDRM mengambil tindakan tegas terhadap anggota berkenaan.

Polis siasat video tersebut

Dalam pada itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) memaklumkan sedang melakukan siasatan terperinci bagi menyiasat dakwaan berhubung tindakan anggota trafik berkenaan ke atas pasangan vlogger itu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Komisioner Polis, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, pihaknya tidak akan bertoleransi dengan sebarang salah laku oleh mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat.

Beliau dalam masa sama turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi tidak tepat.

Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat dengan kejadian tersebut diminta menghubungi bilik gerakan JSPT di talian 03-22663356 atau emel protrafik_ba@rmp.gov.my.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.