YouTuber Terkenal Ditahan Polis, Bantu Siasatan Kes Wanita Mati Dipukul Di Pulau Pinang
Salah seorang suspek yang juga rakan kepada teman lelakinya merupakan YouTuber terkenal yang mempunyai lebih 100,000 pengikut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seorang YouTuber terkenal dan tiga rakannya ditahan polis Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang wanita di sebuah rumah di Teluk Kumbar, Pulau Pinang Sabtu lalu.
Mereka yang berusia lingkungan 23 hingga 28 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Daerah Barat Daya pada Isnin dan Selasa, 5 April 2022.
Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal, penahanan mereka dilakukan selepas polis menerima laporan daripada seorang doktor di Hospital Balik Pulau mengenai pesakitnya yang tidak sedarkan diri dan kritikal 2 April lalu.
“Polis menerima laporan daripada seorang doktor di Hospital Balik Pulau (HBP), di sini pada 10.39 malam Sabtu memaklumkan seorang wanita berusia 20 tahun dibawa ke hospital itu selepas tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal.
“Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan lebam di kepala dan seluruh tubuhnya sebelum wanita itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut berikutan keadaannya kritikal,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan dari kematian mangsa yang juga seorang YouTuber, polis telah bertindak menahan teman lelakinya bersama tiga lagi rakannya bagi membantu siasatan.
Difahamkan, salah seorang suspek yang juga rakan kepada teman lelakinya merupakan YouTuber terkenal yang mempunyai lebih 100,000 pengikut.
“Mangsa dipercayai dipukul dengan menggunakan kekerasan atau objek tumpul. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti motif sebenar kejadian berlaku,” katanya lagi.
Datang ke Pulau Pinang untuk penggambaran konten
Menurut Malaysia Gazette, mangsa dan kekasihnya yang menetap di Melaka datang ke Pulau Pinang sejak 27 Mac lalu untuk membuat penggambaran bagi kandungan YouTube milik rakan mereka.
Namun sewaktu menetap di rumah rakan mereka itu, terdapat perselisihan faham di antara mangsa dan teman lelakinya yang mendakwa wanita itu curang menyebabkan dia dipukul.
Pukulan menggunakan objek tumpul tersebut menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri lalu dibawa ke Hospital Balik Pulau pada jam 4 petang.
Namun keadaan mangsa menyebabkan doktor mengarahkan dia dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.
Mangsa meninggal dunia selepas 14 jam bertarung nyawa
Selepas 14 jam bertarung nyawa, mangsa disahkan meninggal dunia di HPP pada jam 6 pagi, 3 April.
Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
Difahamkan kesemua suspek yang mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah merupakan bekas pelajar Henry Gurney yang telah dibebaskan pada tahun 2020.
Terdahulu tular di media sosial kisah seorang wanita yang didakwa meninggal dunia selepas dipukul oleh teman lelakinya.