Kerajaan Arab Saudi memutuskan untuk menarik balik langkah-langkah yang diambil sebelum ini bagi mencegah penularan wabak Covid-19 termasuk keperluan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup.
Menurut laporan Saudi Press Agency (SPA), kesemua individu yang berada di sana tidak lagi perlu memakai pelitup muka di kawasan tertutup kecuali di Masjidil Haram, Masjid Nabawi, dan tempat-tempat yang protokolnya dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Kesihatan Awam “Weqaya”.
Ini termasuklah kawasan kemudahan awam, acara dan pengangkutan awam yang masih meletakkan syarat agar orang ramai sentiasa memakai pelitup muka.
Aplikasi Tawakkalna tidak lagi diperlukan
Selain itu, imunisasi dan pengesahan kesihatan melalui aplikasi Tawakkalna tidak lagi diperlukan untuk memasuki kawasan kemudahan awam, aktiviti, acara, kapal terbang dan pengangkutan awam.
Namun, penggunaan aplikasi ini masih diperlukan untuk mereka yang perlukan pengesahan status kesihatan atau di premis yang masih mahu kekal menggunakannya.
Tempoh keperluan untuk mengambil dos penggalak ketiga vaksin Covid-19 bagi rakyat Saudi yang ingin melancong ke luar negara pula dijarakkan ke lapan bulan dan bukannya tiga bulan selepas dos kedua seperti sebelum ini. Ia bagaimanapun dikecualikan untuk kumpulan umur yang tertentu.
Kementerian bagaimanapun menekankan tentang kepentingan mengekalkan pelaksanaan pelan nasional untuk imunisasi, termasuk mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 yang diluluskan.