fbpx
Now Reading
Ganggu & Tarik Mikrofon Penceramah Semasa Kuliah Subuh, Lelaki Di Ampang Ditahan
lelaki ditangkap kerana ganggu kuliah subuh

Ganggu & Tarik Mikrofon Penceramah Semasa Kuliah Subuh, Lelaki Di Ampang Ditahan

Suspek yang bertindak merampas mikrofon penceramah sebelum menjerit memaklumkan kuliah subuh tersebut bising dan menganggunya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang lelaki ditahan polis kerana telah bertindak menganggu satu kuliah subuh di sebuah surau di Ampang Campuran, Selangor, pada 7 Ogos yang lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak memaklumkan, insiden tersebut telah dilaporkan oleh pengerusi surau berkenaan.

Lelaki menjerit kuliah subuh bising & menganggunya

“Semasa kuliah subuh berlangsung, seorang lelaki tempatan tidak dikenali telah datang menuju ke arah penceramah lalu menarik mikrofon dan suspek menjerit menyatakan kuliah tersebut terlalu bising serta menganggunya.

“Jemaah surau yang lain telah bertindak menghalangnya dari melakukan perkara yang lebih parah serta meminta lelaki berkenaan meninggalkan surau itu dengan cara yang baik,” jelasnya.

Sehubungan itu, polis telah menahan lelaki berkenaan, seorang warga tempatan yang berumur 34 tahun yang juga merupakan penjaga stor di Jalan Ikan Emas Mesra di Ampang, Selangor pada 8 Ogos sekitar jam 7 petang.

Suspek mempunyai dua rekod lampau

Beliau berkata, berdasarkan semakan lelaki terbabit mempunyai dua rekod lampau dalam kesalahan dadah serta ugutan jenayah dan direman selama empat hari sehingga 12 Ogos.

“Kes disiasat di bawah 298 Kanun Keseksaan kerana berniat melukakan perasaan agama seorang yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh mencecah sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1956 kerana kelakuan aib yang boleh dikenakan denda tidak melebihi seratus ringgit,” kata Mohamad Farouk.

Foto: FB Polis Daerah Ampang Jaya

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.