fbpx
Now Reading
Tak Mampu Sewa Rumah, Lelaki Ini Terpaksa Bawa Isteri & Anak Tinggal Dalam Kereta Hampir 10 Bulan

Tak Mampu Sewa Rumah, Lelaki Ini Terpaksa Bawa Isteri & Anak Tinggal Dalam Kereta Hampir 10 Bulan

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Public Bank 4747117432 atas nama Siti Azeryna Daud atau menghubungi isteri Razak 014-878 0368.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Setiap ibu bapa, pasti ingin memberikan yang terbaik buat anak-anak mereka sama ada dari segi keperluan mahupun kemahuan.

Bagaimanapun, bagi yang tidak berkemampuan, semestinya perasan kecewa dan sedih itu ada apabila melihat anak yang disayangi terpaksa menempuh kesusahan bersama.

Bapa tak sanggup lihat anak-anak terpaksa tidur dalam kereta

Begitulah yang terjadi kepada seorang bapa ini yang tidak sanggup melihat anak-anaknya tidur di dalam kereta selama hampir setahun kerana tiada tempat tinggal.

“Mana ada bapa sanggup tengok anak tidur dalam kereta, tapi apakan daya, saya terpaksa,” luah lelaki itu yang dikenali sebagai Razak ketika dihubungi Harian Metro.

Jadikan kereta sebagai rumah selama hampir 10 bulan

Difahamkan, Razak yang berusia 42 tahun bersama Isterinya Siti, 39, dan tiga anak berumur tiga hingga lapan tahun telah tinggal di dalam kereta jenis Proton Wira selama hampir 10 bulan.

Kisah menyayat hati keluarga ini mula mendapat perhatian ramai susulan perkongsian yang dibuat oleh pengguna Facebook, Edi Arjuna Pencerita sejak semalam (21 Jun).

Perkongsian itu sekaligus membuka sinar harapan baru buat Razak dan keluarga kecilnya apabila orang ramai tampil ingin membantu.

Pernah melakukan beberapa pekerja sebelum pandemik Covid-19

Menurut Razak, dia pernah melakukan pelbagai pekerjaan seperti memotong rumput dan bergelar pemandu van sekolah, namun semuanya lenyap di saat negara dilanda pandemik Covid-19.

Jelasnya, sebelum ini mereka sekeluarga pernah menetap di sebuah rumah sewa di Banting, Selangor dan menumpang di rumah keluarga di ibu negara.

Bagaimanapun, terdapat masalah yang berlaku menyebabkan mereka terpaksa membawa haluan sendirian dan akhirnya tinggal di dalam kereta.

Razak perlu dimasukkan ke hospital kerana ketumbuhan pada leher

Lebih memeritkan apabila Razak harus dimasukkan ke Hospital Temerloh semalam (21 Jun) kerana ketumbuhan pada leher yang baru disedarinya sejak sebulan lalu.

“Sepanjang tinggal dalam kereta, saya sudah bawa anak dan isteri bermalam di merata tempat, antaranya sekitar Nilai, Negeri Sembilan; Banting, Selangor dan terbaharu di Lebuhraya Karak, Pahang.

“Kebiasaannya kami tidur di dalam kereta, namun jika ada rezeki lebih, saya bawa anak dan isteri tidur di hotel bajet.

“Alhamdulillah setakat ini tiada gangguan atau masalah, malah polis peronda juga bantu memantau keselamatan kami,” katanya lagi.

Ambil upah sebagai mekanik jalanan, tapi bayaran diterima tidak seberapa

Demi meneruskan kehidupan bersama isteri dan anak-anaknya, Razak kini mengambil upah sebagai mekanik jalanan tanpa meninggalkan keluarganya, namun bayaran diterima tidak seberapa menyebabkan dia sukar untuk menyewa rumah.

“Saya memang nak sewa rumah cuma apabila dapat duit, kena dahulukan beli makanan dan keperluan anak, termasuk susu dan lampin pakai buang.

“Sebelum ini, ada juga simpan duit tetapi kereta rosak hingga saya terduduk… terpaksa keluarkan duit bagi membaiki kereta.

“Pernah juga berniaga jual air tin tetapi modal tak cukup dan kemudian ambil upah bantu mereka yang perlukan pertolongan akibat kereta rosak di tengah jalan,” ujarnya.

Razak pada masa sama turut berasa sedih apabila tidak dapat menyambut dan meraikan ulang tahun keempat anak keduanya kerana dimasukkan ke wad.

Razak mungkin jalani pembedahan buang ketumbuhan pada Jumaat ini

Menurutnya lagi, doktor memaklumkan dia perlu dibedah bagi membuang ketumbuhan pada leher, berkemungkinan pada Jumaat ini.

“Saya harap pembedahan berjalan lancar kerana nak keluar bekerja dan cari duit untuk keluarga,” katanya yang memberitahu sudah dihubungi wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas kisahnya tular.

Kata Razak, JKM ada bertanya kepadanya di mana mereka sekeluarga mahu menetap selepas ini.

“Kalau boleh saya nak duduk di sekitar Karak dan berharap dapat bantuan bayar wang pendahuluan rumah kerana memang tak mampu buat masa ini,” ujarnya lagi.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Public Bank 4747117432 atas nama Siti Azeryna Daud atau menghubungi isteri Razak 014-878 0368.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.