fbpx
Now Reading
Penoreh Getah Pinjam Duit RM120 Untuk Lihat Anak Ambil Keputusan Cemerlang Dalam STPM

Penoreh Getah Pinjam Duit RM120 Untuk Lihat Anak Ambil Keputusan Cemerlang Dalam STPM

Menurut Jaliusih, dia sanggup mencari apa cara sekalipun demi memastikan dia dan isteri dapat hadir ke majlis yang penuh bermakna itu untuk melihat Arnie mengambil keputusan cemerlang dalam STPM.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Setiap yang bergelar bapa pasti sanggup melakukan apa sahaja perkara meskipun terpaksa mengorbankan nyawa sendiri demi keluarga yang tersayang.

Apatah lagi jika pengorbanan yang dilakukan itu untuk melihat anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang mencapai kejayaan dalam pelajarannya.

Bapa sanggup pinjam duit demi hadiri majlis pengumuman keputusan STPM anak perempuan

Samalah seperti seorang penoreh getah yang dikenali sebagai Jaliusih Madakol dari Sabah yang sanggup meminjam wang demi menghadiri majlis pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) anak perempuannya.

Namun wang pinjaman itu pastinya berbaloi kerana anak kesayangannya, Arnie berusia 20 tahun itu berjaya memiliki kuputusan yang cemerlang dengan gred kumulatif (CGPA) 4.0 untuk peperiksaan STPM.

Gadis yang menuntut di SMK Tun Fuad Stephens, merupakan antara 75 pelajar yang menerima sijil penghargaan dari Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD Jabatan Pendidikan Negeri Sabah iaitu Mohd Zaini Yanin di Kolej Tingakatan Enam Kota Kinabalu, Sabah.

Cari pelbagai cara untuk pastikan keluarga hadir raikan kejayaan anak

Menurut bapa kepada gadis itu, dia mencari pelbagai cara untuk memastikan dirinya, isteri dan anak tercinta dapat hadir untuk meraikan kejayaan tersebut.

“Saya hanya memiliki motosikal dan sebuah kereta Proton Saga yang selalu mengalami masalah kerosakan. Kereta saya itu dari era Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada tahun 1990-an.

“Paling jauh kereta itu boleh pergi hanya di pekan Tamparuli yang terletak sekitar 30 minit dari rumah kami,” jelasnya dipetik NST.

Terpaksa naik teksi dengan kos tambang bernilai RM120, wang dipinjam dari orang kampung

Tambah penoreh getah itu lagi, mereka terpaksa menaiki teksi dari pekan untuk ke majlis berkenaan yang mengambil masa sekitar 30 minit lagi.

Ujar Jaliusih dari Sinansang Kiulu di Tamparuli, dia hanya memperolehi pendapatan sekitar RM200 hingga RM300 sebulan dan kos bagi tambang teksi itu adalah RM120.

“Saya tidak mempunyai pilihan dan terpaksa meminjam wang dari beberapa orang kampung untuk memastikan kami sampai ke sini. Ia merupakan satu majlis yang sangat mengembirakan.

“Tetapi apabila Arnie melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, memandangkan dia mempunyai impian untuk menjadi seorang guru, kami sekeluarga perlu mendapatkan sokongan kewangan daripada ahli keluarga yang lain,” kata bapa itu.

Satu-satunya pelajar di SMK Tun Fuad Stephens yang miliki keputusan 4.0

Pelajar cemerlang yang juga anak ketiga daripada lima adik beradik merupakan satu-satunya pelajar di sekolah berkenaan yang berjaya mendapat keputusan 4.0 bagi peperiksaan STPM.

Kolej Tingkatan 6 Tawau mencatatkan jumlah pelajar cemerlang yang tertinggi bagi peperiksaan tersebut iaitu seramai lapan orang.

Negeri di bawah bayu itu mencatatkan seramai 7,618 calon telah mendaftar untuk peperiksaan tiga semester pada tahun 2022 namun hanya 7,001 orang sahaja yang mendudukinya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.