Tular Video Pengikut Dakwa Nabi Muhammad Itu Allah, Ini Info Mengenai Ajaran Sesat Si Hulk
Secara ringkasnya si Hulk merupakan nama singkatan bagi Society of Islamic Holisticism Universal Linkage Knowledge.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini kecoh media sosial mengenai penularan video membabitkan dua keluarga yang menyokong dan mempercayai satu fahaman iaitu Si Hulk bahawa kononnya Nabi Muhammad SAW adalah Allah.
Tindakan dua keluarga yang membuat pengakuan secara terbuka berhubung kedudukan Rasulullah SAW sebagai tuhan itu bukan sahaja mecetuskan perdebatan di kalangan umat Islam, malah ada yang khuatir fahaman mengarut itu boleh mempengaruhi banyak pihak lain khususnya anak muda.
Persoalannya apakah ajaran Si Hulk dan bagaimana ia boleh mempengaruhi pengikut-pengikutnya sehingga berani mengeluarkan video berkenaan di media sosial?
Apa itu Si Hulk?
Secara ringkasnya si Hulk merupakan nama singkatan bagi Society of Islamic Holisticism Universal Linkage Knowledge.
Ia diasaskan seorang individu bernama Suhaini Mohammad atau nama lainnya Suhai Ibni Mohammad. Dia difahamkan kini menetap di New Zealand.
Namun Si Hulk sebelum dikenali sebagai satu fahaman sesat sebenarnya bermula dari perusahaan air minuman yang menggunakan nama sama.
Difahamkan kilang milik ajaran sesat itu yang beroperasi di beberapa negeri termasuk di Johor Bahru dan Selangor menghasilkan air minuman berasaskan peraman madu.
Ia bagaimanapun mencetuskan kontroversi apabila Suhaini mendakwa air tersebut mampu menyembuhkan wabak Covid-19 sehingga mendapat perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia.
Kilang di Johor bagaimanapun sudah ditutup selepas sijil halalnya ditarik balik kerana gagal mematuhi piawaian ditetapkan pada 3 Jun 2021.
Menerusi video yang tular sebelum-sebelum ini, pengikut Si Hulk bukan sahaja mendakwa Rasulullah SAW sebagai tuhan, bahkan mereka turut mempercayai baginda tidak berjantina, tiada kemaluan dan banyak lagi.
Mereka bukan sahaja menyekutukan Allah Yang Maha Esa malah ramai menyifatkan mereka merendah-rendahkan Nabi Muhammad SAW.
Sudah ada video tular sejak bulan Mac lalu
Sebenarnya video membabitkan pengikut kumpulan ini sudah lama tular. Bahkan pada Mac lalu Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memburu empat individu kerana penularan satu video di TikTok.
Di dalam video tersebut, mereka sama seperti dua keluarga yang tular baru-baru ini apabila secara terang-terangan mengaku menyokong ajaran Si Hulk selain menyebut Nabi Muhammad SAW adalah tuhan.
Sudah difatwakan sesat dan haram oleh JAINJ sejak 2021
Buat anda yang tidak tahu, ajaran Si Hulk ini sudah difatwakan sesat oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sejak tahun 2021.
Menurut Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan fahaman dan ajaran yang diasaskan oleh Suhaini itu adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.
Jelasnya keputusan itu dibuat berdasarkan penelitian dan perbincangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 28 September 2020.
Sehubungan itu beliau menegaskan orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan diharamkan dan dilarang berpegang dengan fahaman dan ajaran sesat itu termasuk menyertai majlisnya.
“Justeru, fahaman dan ajaran yang dibawa Suhaini Bin Mohammad ini hendaklah disekat dengan apa cara sekali pun daripada disebarkan di Johor dan mana-mana orang Islam yang terbabit dengan ajaran ini hendaklah bertaubat,” katanya.
Murtad sesiapa yang percaya Rasulullah SAW adalah tuhan
Malah menurut Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, umat Islam yang percaya Nabi Muhammad SAW adalah Allah SWT dianggap murtad dan perlu bertaubat.
“Tidak diragui lagi bahawa kepercayaan itu adalah satu lagi ajaran sesat yang perlu diluruskan serta dibendung supaya tidak tersebar dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.
“Sesiapa yang percaya bahawa Nabi Muhammad adalah Allah SWT, sesungguhnya dia sudah terkeluar daripada agama Islam dan menjadi murtad yang boleh dijatuhi hukuman bunuh menurut syariat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengikutnya di Melaka pernah ditahan
Tidak hanya aktif di Johor, malah ada pengikut ajaran sesat ini dikesan berada di Melaka. Bahkan pada Jun lalu, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah memberkas seorang pengikut Si Hulk di negeri itu.
Penahanan membabitkan lelaki berusia 38 tahun itu bersama isteri dan tiga anaknya dilakukan pada Ahad (11 Jun) dan dia sepatutnya berlepas ke New Zealand bagi bertemu Suhaini di sana dua hari selepasnya.
Sewaktu penahanan, pihak JAIM turut merampas risalah ajaran sesat itu.
Namun setakat ini tiada penahanan membabitkan pengikut ajaran sama di negeri lain termasuklah di Johor Bahru.
Ramai pengikutnya kini bersembunyi menetap di New Zealand
Dalam pada itu Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid memaklumkan siasatan terhadap video yang tular baru-baru ini mendapati ia dimuat naik dan dirakam di luar negara dipercayai di New Zealand.
Sehubungan itu tindakan penguatkuasaan sukar diambil kerana individu terlibat dalam video itu berada di luar negara.
Namun tangkapan boleh dibuat mengikut lunas undang-undang sedia ada sekiranya mereka pulang ke negara ini.
Jelasnya lagi JAINJ juga akan bekerjasama dengan PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap ajaran itu.
Antara pegangan pengikut Si Hulk
Antara pegangan pengikut ajaran sesat ini adalah:
- Allah SWT itu adalah Nabi Muhammad SAW, Muhammad itu Allah
- Nabi Muhammad SAW tidak mempunyai jantina
- Nabi Muhammad SAW tidak mempunyai kemaluan
- Kelazatan melihat wajah Allah (wajah Rasulullah) adalah penyebab lahirnya zuriat Nabi SAW
- Si Hulk merupakan air hayat iaitu air yang diperoleh Nabi Khidir menjadikan baginda mampu hidup sehingga hari kiamat
- Botol Si Hulk digunakan untuk melaksanakan ritual menangkap jin ke dalam botol