16 Tahun Kahwin Rupanya 4 Anak Bukan Darah Daging Sendiri, Suami Tikam Isteri Hingga Mati
Difahamkan, segalanya terbongkar apabila Joni berasa curiga selepas melihat isterinya berdua-duaan dengan lelaki lain.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Hati siapa tak hancur apabila mahligai cinta yang dibina dengan penuh kasih sayang selama bertahun-tahun bersama pasangan rupanya dikhianati dalam diam.
Begitulah yang terjadi kepada satu pasangan di Indonesia yang sudah 16 tahun berkahwin di mana si isteri turut berlaku curang sehingga melahirkan empat anak yang bukan darah daging suaminya.
Dek kerana terlalu berang, si suami lantas menikam isterinya sehingga mati pada 26 Julai yang lalu.
Menurut Sinar Plus yang memetik Tribunnews, suspek daripada Kalimantan Barat yang dikenali sebagai Joni itu telah ditahan polis selepas disyaki membunuh isterinya kerana berlaku curang selama bertahun-tahun sehingga memiliki zuriat daripada hasil perselingkuhan.
Suami tak sangka rupanya 4 anak bukan darah daging sendiri
Kata Joni, dia tidak menyangka bahawa empat anak yang dilahirkan oleh isterinya selama ini bukanlah darah dagingnya sendiri, sebaliknya hasil hubungan terlarang wanita yang dikenali sebagai Siti Oktaviana itu bersama lelaki lain.
Difahamkan, segalanya terbongkar apabila Joni berasa curiga selepas melihat isterinya berdua-duaan dengan lelaki lain.
Pada awalnya, isterinya tidak memberi sebarang jawapan tentang hubungan itu kepada suspek ketika ditanya sehingga berlaku perselisihan faham di antara mereka.
Isterinya akhir akui empat anak dimiliki hasil hubungan dengan lelaki lain
Namun akhirnya, mangsa mengakui tentang hubungan sulitnya dan menyatakan bahawa keempat-empat anak yang dilahirkan itu adalah hasil daripada benih lelaki lain.
Suspek yang berang dengan pengakuan itu akhirnya bertindak menampar isterinya sehingga wanita itu mengugut ingin melaporkan kepada pihak polis.
Suami nekad tamatkan hidup isteri
Tanpa berfikir panjang, suspek akhirnya nekad untuk menamatkan hayat isterinya dengan memukul mangsa.
Mangsa dikatakan sempat melarikan diri namun berjaya ditangkap suspek sebelum ditikam dengan menggunakan gunting berkali-kali.
Suspek kemudian bertindak menjerut leher mangsa sambil bergelut sebelum si isteri tiba-tiba tidak memberi sebarang respon.
Takut melihat keadaan isterinya yang tidak bertindak balas, suspek kemudiannya membawa wanita itu ke rumah ibu bapanya.
Keluarga kemudiannya bertindak membawa wanita itu ke hospital namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.
Ketika soal siasat, suspek mendakwa dia dan isteri telah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Namun semua terbongkar apabila keputusan bedah siasat mendapati wanita itu meninggal dunia kerana trauma di kepala dipercayai dipukul oleh objek tumpul.