Bapa Sanggup Berpakaian Seperti Wanita Untuk Rai Hari Ibu Bersama Anak
Enggan anaknya sedih kerana ketiadaan ibu, Joe sanggup berpakaian seperti wanita demi anak angkatnya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap yang bergelar bapa pasti sanggup berkorban apa sahaja demi anak tercinta tidak kiralah sama ada itu adalah darah dagingnya ataupun bukan.
Malah kasih sayang yang diberikan ditatang seperti minyak yang penuh selain turut berusaha untuk memberikan yang terbaik buat anak itu.
Bapa sanggup pakai baju seperti wanita demi rai Hari Ibu bersama anak angkat
Perkara ini samalah seperti seorang bapa tunggal di Thailand ini apabila dia sanggup berpakaian seperti wanita untuk menyertai aktiviti sempena sambutan Hari Ibu yang diadakan di sekolah anak angkatnya di Kampaeng Phet lapor The Thaiger.
Tindakannya itu turut dipuji oleh para netizen kerana demi kasih sayangnya terhadap anak perempuan dia sanggup melakukan hal tersebut buat anak perempuannya.
Dia yang berusia 48 tahun itu turut berkongsi perkara tersebut menerusi satu video yang dimuat naik dalam Facebook dan TikToknya.
Malah turut menulis kapsyen, “Ibu mesti hadir Hari Ibu. Saya boleh menjadi ibu kepada awak juga! haha.”
Bukan hanya pakai baju gaun, lelaki siap pakai rambut palsu
Menerusi video tersebut, lelaki yang dikenali sebagai Pratchaya Joe Tadeebu menunjukkan dia memakai baju gaun yang berwarna hitam dan putih bersama dengan satu rambut palsu yang panjang.
Turut kelihatan anaknya yang bernama Nattawadee Cream Kornjan kemudian memberikan penghormatan kepada bapa angkatnya yang sedang duduk di atas sebuah kerusi.
Video dan gambar yang ditunjukkan oleh lelaki berkenaan telah menarik perhatian orang ramai apabila ada yang mengatakan itulah kasih sayang.
Bapa angkat rupanya seorang guru di sekolah sama
Lelaki yang mesra dipanggil Joe itu kemudian memaklumkan kepada ThaiRath bahawa dia juga merupakan seorang guru di Sekolah Baan Boen Kloy iaitu tempat yang sama dengan anaknya.
“Kami bercakap sesama sendiri apa yang perlu dilakukan untuk Hari Ibu. Saya tidak mahu Cream (anak angkat Joe) rasa ketinggalan. Saya mahu dia juga gembira.
“Oleh itu, saya mempunyai idea untuk berpakaian seperti wanita, saya tidak berasa malu. Kami hanya rasa ia adalah salah satu perkara yang menyeronokkan untuk dilakukan bersama.
“Malah walaupun seorang bapa tunggal, saya sentiasa beritahu dia bahawa saya menyanganginya sama seperti anak kandung. Saya akan buat yang terbaik sebagai seorang ayah dan ibu untuk menjaganya,” kata Joe.
Anak gembira lihat gelagat bapa
Anak perempuannya itu turut memberitahu media bahawa dia sangat gembira melihat gelagat bapanya ketika menyertai aktiviti sambutan Hari Ibu itu. Bahkan merasakan ia adalah sesuatu yang comel dan kelakar serta tidak berasa malu berhubung perkara itu.
Sebahagian pelajar mungkin merasakan sambutan ini adalah sesuatu perkara untuk meluahkan rasa sayang dan prihatin kepada ibu mereka namun ia juga mungkin membuatkan menyakitkan bagi individu yang sudah tidak mempunyai ibu lagi.
Terdapat netizen yang merasakan sekolah tidak sepatutnya meraikan sambutan Hari Ibu lagi.
Ekoran itu, Sekolah Anuban Sri That di Isaan, Udon Thani memutuskan untuk tidak melakukan sambutan itu selepas menyedari ia boleh menyebabkan tekanan emosi kepada kebanyakan pelajar.
Pengarah sekolah, Seksan Sopharat berkata berdasarkan tinjauan yang dibuat menunjukkan kebanyakan pelajar di sekolah itu tidak mempunyai ibu dan sedih setiap kali sambutan itu dilakukan.
Maka sekolah membatalkan sambutan berkenaan dan menggalakkan pelajar untuk membuat kad ucapan, melukis, menulis esei serta mengarang puisi ketika Hari Ibu.