fbpx
Now Reading
Majlis Pecah Tanah MIC: Bacaan Doa Di Hadapan Ritual Agama Hindu Undang Spekulasi [Video]

Majlis Pecah Tanah MIC: Bacaan Doa Di Hadapan Ritual Agama Hindu Undang Spekulasi [Video]

Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Zeri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon turut dilihat berada di majlis tersebut.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Hari ini (23 Ogos) tular dia Facebook video memperlihatkan seorang lelaki sedang berdoa dalam satu majlis di Kuala Lumpur.

Menerusi video yang dikongsikan portal berita berbahasa Tamil, Makkal Osai, individu berkenaan dilihat membaca surah al-Fatihah diikuti bacaan doa di hadapan hadirin yang rata-ratanya bukan Muslim.

Namun terdapat juga hadirin yang turut menadah tangan mengaminkan doa berkenaan.

Apa yang mencuri perhatian orang ramai adalah bacaan doa tersebut berlangsung bersama dan di hadapan ritual agama Hindu hingga mencetuskan persoalan.

Malah ada yang tertanya-tanya apakah sebenarnya yang berlaku dan kenapa ritual tersebut berlangsung serentak sehingga mencetuskan perdebatan.

Tidak kurang juga ada yang turut meminta pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengadakan siasatan.

Namun ada segelintir yang berpendapat, ia dilakukan demi meraikan kepelbagaian agama di negara kita.

Apa sebenarnya yang terjadi?

Menerusi carian kami, majlis tersebut sebenarnya adalah Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Malaysian Indian Congress (MIC) yang baharu pada 21 Ogos yang lalu.

Ia dihadiri Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, dan Timbalan Presiden MIC, Datuk M Saravanan dan ramai ahli politik dari parti itu.

Malah majlis tersebut turut disiarkan secara langsung oleh laman Facebook rasmi parti berkenaan.

Zahid turut hadir dan beri ucapan

Selain pimpinan tertinggi MIC dan ahlinya, Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon turut dilihat berada di majlis tersebut.

Namun Zahid yang juga Presiden Barisan Nasional (BN) hanya tiba di sana selepas ritual tersebut selesai dan berangkat pulang sebaik Saravanan memberikan ucapan.

Dewan Ulama PAS beri teguran pada MIC

Dalam pada itu, Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menegaskan upacara membaca doa di dalam ritual tersebut tidak sepatutnya berlaku meskipun atas perpaduan dalam meraikan kepelbagaian agama dan budaya di negara ini.

Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Ustaz Ahmad Yahaya dalam satu kenyataan berkata, kepercayaan, amalan dan ritual serta prinsip setiap keagamaan mesti dibezakan dengan sama sekali tidak dicampur-aduk.

“Hatta mesti dihalang dari diperlekeh atau dipermain-mainkan, mahupun dijadikan hiasan atau pertunjukan acara, apatah lagi dihina. Kebimbangan utama di sini adalah normalisasi pluralisme agama yang sewajibnya dibendung daripada berkembang dalam negara ini.”

Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Ustaz Ahmad Yahaya

Beliau turut berharap situasi-situasi sedemikian tidak berlaku dan tidak lagi berulang dalam negara ini dan pihak berkuasa agama serta keselamatan diminta untuk segera mengambil tindakan sewajarnya.

“DUPP menasihati kepimpinan MIC dan penganjur program berkenaan supaya mendapatkan nasihat yang betul sebelum melaksanakan sebarang ritual khususnya melibatkan agama Islam.

“Perkara tersebut melibatkan batas-batas dan pengkhususan dalam agama Islam yang sepatutnya dihormati oleh semua pihak.”

Setakat ini tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa atau MIC berhubung isu tersebut. Pihak media juga telah mengajukan rakaman kepada Jakim namun belum menerima sebarang respon.

Sebagai rekod, MIC sebuah parti untuk rakyat Malaysia yang berbangsa India. Namun ahlinya juga terdiri dari pelbagai agama termasuk Hindu dan Islam.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.