fbpx
Now Reading
Pelajar Istimewa Tercicir Gara-Gara Ibu Bapa ‘Denial’, Terpaksa Ikuti Kelas Aliran Perdana

Pelajar Istimewa Tercicir Gara-Gara Ibu Bapa ‘Denial’, Terpaksa Ikuti Kelas Aliran Perdana

Antara masalah yang dihadapi oleh pelajar berkenaan adalah dia tidak dapat memberikan fokus ketika pembelajaran selain hasil kerja yang lemah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Anak merupakan anugerah dan juga amanah daripada Allah SWT yang perlu dijaga dan dididik dengan baik.

Oleh itu, mereka perlu dihantar ke sekolah untuk menimba ilmu. Namun sebagai ibu bapa, kita juga perlu cakna dengan keadaan semasa anak-anak dan memberikan bantuan sesuai dengan keperluan mereka.

Sebagai contoh setiap pelajar mempunyai tahap prestasi yang berbeza melalui penilaian guru, maka dari situlah cikgu akan mengajar, mencari kaedah atau menasihati ibu bapa apa yang perlu dilakukan agar si kecil dapat dibantu dan tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka.

Guru kongsi pelajar istimewa darjah 3 berada di kelas aliran perdana

Baru-baru ini, tular satu hantaran di Facebook yang dimuat naik oleh pendidik terkenal, Mohd Fadli Salleh yang berkongsi mengenai kisah seorang pelajar tahun 3 yang mempunyai masalah dalam pelajaran.

Jelas Cikgu Fadli, murid berkenaan telah dimasukkan ke kelas pemulihan sejak berada di tahun satu selepas guru-guru pelajar terbabit mendapati dia mempunyai masalah dalam pembelajarannya.

Mempunyai beberapa masalah pelajaran seperti sukar fokus

Antara masalah yang dihadapi oleh pelajar ini adalah dia tidak dapat memberikan fokus, apabila bercakap matanya sering memandang ke arah tempat lain.

Bukan hanya itu, guru juga menyifatkan kanak-kanak ini seorang yang pendiam selain tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti ketika sesi pembelajaran di dalam kelas.

Selain itu, hasil kerjanya turut dilihat lemah apabila gagal melengkapkan tugasan mudah yang diberi iaitu untuk menyalin semula apa yang ditulis guru.

“Guru pemulihan buat ujian saringan awal untuk kesan sama ada murid ini benar-benar ada masalah pembelajaran.

“Hasil ujian awal, memang ternyata murid ini ada masalah pembelajaran. Maka ibu bapa dimaklumkan untuk bawa anak mereka ke hospital dan berjumpa doktor pakar kanak-kanak untuk pengesahan pakar,” tulisnya.

Katanya lagi, dengan pengesahan pakar pelajar terbabit boleh memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU, kerana masalah pembelajaran) dan kemudian akan dimasukkan ke kelas pendidikan khas.

Masih ada segelintir ibu bapa bersikap ‘denial’, anak terpaksa tanggung kesan

Namun sayangnya, kedua orang tuanya enggan berbuat demikian malah tidak mengakui dan membiarkan si kecil ini untuk terus berada di kelas aliran perdana.

“Kesannya murid ini langsung tak boleh ikuti pembelajaran dalam kelas. Dia duduk dalam dunia dia sendiri, tak ada peningkatan dalam pelajaran bahkan makin tertinggal lagi.

“Haknya dinafikan oleh ibu bapa sendiri. Tiada apa yang mampu kami sebagai guru nak bantu anak ini.

“Ibu bapa yang ada anak autisme, disleksia, diskalkulia, disgraphia, hyper, adhd dan seumpamanya memang sebahagian mereka ‘in denial’ dan tak terima kenyataan,” jelasnya lagi.

Dia dalam masa sama turut mengatakan sikap itu hanya akan memberi kesan untuk ditanggung oleh si anak.

Melihat di ruangan komen, ramai yang turut berkongsi pengalaman mengenai anak atau pelajar mereka yang juga mengalami masalah dalam pelajaran.

Malah ada yang menyatakan mereka berlapang dada sebaik mengetahui masalah dialami oleh anak dan fokus kepada cara untuk membantunya.

“Kesiannya dekat dia, saya dulu pun risau anak saya sebab dia aktif lain macam ada orang cakap adhd la austisme lah, saya minta periksa dekat klinik kesihatan. Alhamdulillah dah darjah satu ni okay dah dia”

“Anak sulung saya 8 tahun ada masalah pembelajaran. Pihak sekolah dah keluarkan surat untuk rujukan doktor pakar. Temujanji bulan 12 ni. Mula-mula rasa sedih juga, tapi saya dan suami berlapadang dada terima seadanya keadaan anak walaupun lahir normal tapi masalah pembelajaran. Kami cuba buat yang terbaik untuk anak dan sentiasa sokong dia”
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.