Aina Abdul Belanja RM400,000 Untuk 5 Baju Konsert, Ada Siap Berasap [Video]
Menurut Aina Abdul, dia menghabiskan sebanyak RM400,000 untuk lima pasang baju bagi konsert tersebut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebut mengenai penyanyi terkenal, Aina Abdul pasti semua tahu bukan sekadar vokalnya sahaja yang mantap bahkan baju yang dikenakannya juga sentiasa menjadi perhatian netizen.
Ini kerana, penyanyi ini sering muncul dengan pakaian yang sedikit pelik dan unik hasil seni pereka fesyen tempatan di tanah air.
Belanja RM400,000 bagi lima persalinan untuk konsert A Night With Aina Abdul 3.0
Malah pelantun lagu Sepi itu baru-baru ini, memaklumkan telah berbelanja sehingga RM400,000 hanya untuk menyediakan lima pakaian yang dipakai ketika berlangsungnya konsert A Night With Aina Abdul 3.0 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Sabtu (18 November) lalu.
Menurut Aina atau nama penuh Nurul Aina Abdul Ghani dia mengeluarkan belanja yang besar untuk pakaian demi kesempurnaan dalam merealisasikan persembahan pada konsert tersebut dalam setiap aspek.
“Saya memakai lima baju secara keseluruhannya tidak termasuk helaian rona putih yang pernah saya pakai ketika Anugerah Juara Lagu ke 37 (AJL37) untuk lagu Terus Hidup.
“Jujurnya nilai kesemua busana yang saya gayakan malam ini berjumlah sekitar RM400,000.
“Itu adalah kos untuk baju sahaja, tidak termasuk perbelanjaan lain melibatkan konsert,” ujarnya, dipetik Kosmo.
Baju warna biru elemen teknologi dan sains
Malah apa yang lebih mencuri tumpuan terdapat satu baju berwarna biru yang digunakan sebagai persalinan kedua mengabungkan elemen teknologi dan sains.
Ini kerana, ketika penyanyi wanita itu sedang membuat persembahan jelas kelihatan kepulan asap keluar dari bahagian dalam baju berkenaan.
Lebih mengagumkan bunga pada baju itu juga dilihat bergerak seperti berpusing.
Kolaborasi pereka fesyen, Zaimi Zulkafli dengan Aiszzy Electronics
Perincian untuk menyiapkan baju tersebut turut ditunjukkan oleh syarikat Aiszzy Electronics yang bertanggungjawab dalam mengahasil baju terbabit dengan kolaborasi bersama pereka fesyen, Zaimi Zulkafli.
Menerusi video yang dikongsikan, kelihatan jurutera dari syarikat berkenaan bertungkus lumus memasang alat elektronik pada baju berkenaan.
Turut kelihatan mereka juga membuat sistem ‘programing’ pada baju berkenaan agar alat berkenaan boleh mengeluarkan asap manakala bunga tersebut boleh berpusing.
Sebelum dipakai ketika konsert dapat dilihat Aina mencuba terlebih dahulu baju berkenaan dan kelihatan dia gembira melihat hasil rekaan baju itu.
Bukan hanya itu, untuk menghasilkan baju seunik itu kelihatan jurutera menggunakan banyak wayar.
Usaha mereka juga berhasil apabila baju itu mengeluarkan asap dan bunganya bergerak seperti dirancang ketika persembahan Aina pada malam konsert tersebut.
Ramai kagum dengan baju Aina
Perkongsian video daripada syarikat itu secara tidak langsung membuatkan ramai teruja serta kagum dengan kebolehan rakyat tempatan sehingga mampu menghasilkan baju sehebat itu.
Malah ada yang menyatakan mereka kasihan apabila terdapat segelintir individu mengecam penyanyi berkenaan kerana sering tampil berpakaian pelik.
Sebaliknya itu adalah cara dia membantu anak tempatan dalam menyerlahkan bakat mereka.