fbpx
Now Reading
Jumlah Kematian Rakyat Palestin Terus Meningkat, Cecah Lebih 15,500

Jumlah Kematian Rakyat Palestin Terus Meningkat, Cecah Lebih 15,500

Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin, serangan rejim Zionis itu juga telah memusnahkan sebanyak 53 ambulans dan fasiliti kesihatan selain 20 hospital juga tidak dapat beroperasi.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Jumlah kematian akibat serangan tentera Israel terhadap wilayah Semenanjung Gaza telah meningkat kepada lebih 15,500 orang sejak konflik terbabit bermula pada 7 Oktober lalu.

Perkara itu diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Gaza semalam (3 Disember) yang meliputi kawasan yang dikepung oleh puak penjajah terbabit.

“Jumlah kematian akibat keganasan Israel ke atas Gaza telah mencapai 15,523 syuhada,” kata jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin, Ashraf Al-Qedra pada sidang media yang dipetik Anadolu.

Menurutnya, bilangan penduduk Gaza yang cedera dalam tempoh yang sama juga meningkat kepada 41,316 orang.

Serangan Israel musnahkan fasiliti kesihatan dan bunuh petugas kesihatan

Tidak hanya itu, beliau turut memaklumkan seramai 281 petugas kesihatan turut meninggal dunia dan beratus yang lain cedera.

Ujar Ashraf lagi, serangan rejim Zionis itu juga telah memusnahkan sebanyak 53 ambulans dan fasiliti kesihatan selain 20 hospital juga tidak dapat beroperasi.

Menurutnya lagi, beliau turut memaklumkan bahawa tentera Israel telah menahan empat petugas paramedik pada Sabtu lalu (2 Disember) semasa mereka dalam perjalanan dari Khan Yunis di selatan Gaza ke utara untuk mengambil mangsa yang cedera.

“Antara yang ditahan termasuk pengarah perkhidmatan ambulans di selatan Gaza, Anis al-Astal, serta paramedik Muhammad Abu Samak, Hamdan Anaba, dan Abdel Karim Abu Ghali,” katanya.

Pakar kesihatan di Gaza turut ditahan oleh rejim Zionis

Selain itu, katanya tentera penceroboh itu turut menahan 35 pakar kesihatan di Gaza termasuk Ketua Pengarah Al-Shifa Medical Complex, Mohammed Abu Selmiya.

“Beliau ditahan dengan cara kekerasaan selain diseksa dengan dibiarkan kelaparan dan kehausan,” katanya lagi.

Sementara itu, Ashraf turut mengesahkan sejumlah 403 mangsa cedera dan sakit telah berjaya meninggalkan Gaza melalui sempadan Rafah dengan Mesir untuk menerima rawatan di luar negara sejak 7 Oktober lalu.

Desak PBB & WHO untuk beri tekanan kepada Israel agar lepaskan semua pakar kesihatan

Beliau juga mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memberi tekanan kepada Israel agar membebaskan pakar kesihatan mereka.

Susulan itu, Ashraf menekankan tentang kepentingan untuk mencari mekanisme yang efektif dan segera untuk menghalang bencana kemanusiaan dan kesihatan kepada lebih 1.5 juta penduduk yang sedang berada di tempat perlindungan.

Berkongsi lanjut, beliau berkata tentera Israel pada ketika ini ingin melenyapkan kehadiran penduduk Palestin di Semenanjung Gaza dengan cara membunuh dan menghalau mereka secara paksa melalui serangan udara.

Israel terus sambung bedil Gaza lepas gencatan senjata sementara tamat

Untuk info, rejim Zionis telah meneruskan serangannya terhadap Gaza sejak Jumaat lalu (1 November) selepas perjanjian gencatan senjata sementara yang sebelum ini dipersetujui oleh Israel dan pejuang Hamas yang mewakili Palestin tamat.

Dalam serangan yang disambung itu, sekurang-kurangnya 509 orang Palestin telah terbunuh dan 1,316 yang lain cedera, lapor Kementerian Kesihatan Gaza.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.