Pakej Nikah di Thailand, Hanya RM2,500 Siap Bawa Pasangan Jalan-Jalan Tarik Perhatian Netizen [Video]
Lelaki itu yang telah menawarkan perkhidmatan sejak tahun 2008 turut menetapkan pasangan perlu membuat bayaran sebanyak RM500 sekiranya tarikh telah ditetapkan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap pasangan kekasih pastinya mengimpikan hubungan yang terjalin dapat diakhiri hingga ke jinjang pelamin.
Namun, tidak semua pasangan bernasib baik untuk membina rumah tangga dengan cara yang mudah.
Ada di antara mereka yang cintanya tidak direstui oleh keluarga, dikenakan wang hantaran yang tinggi dan menjalinkan hubungan dengan pasangan orang hingga menyebabkan hubungan tersebut sukar untuk dihalalkan.
Walau bagaimanapun, berdasarkan kajian, kebanyakan golongan ini lebih memilih untuk bernikah di selatan Thailand bagi memudahkan urusan mereka.
Pakej Kahwin Di Thailand Murah, Siap Bawa Pasangan Jalan-Jalan
Terbaharu, tular di platform TikTok, seorang pemuda menawarkan pakej perkahwinan buat pasangan yang mahu berkahwin di Thailand.
Apa yang menariknya adalah dengan hanya membayar RM2,500, pasangan bukan sahaja dapat bernikah di Songkhla, Thailand, namun mereka juga akan dibawa berjalan-jalan di sekitar bandar tersebut.
“Assalamualaikum dan selamat petang. Untuk petang ni selepas aktiviti pagi tadi, kita ada akad nikah apa semua siap. Lepas tengahari kita bagi diorang makan, balik hotel.
“Untuk petang ni jam 6.00 petang, saya ajak pasangan pengantin, hari ni ada empat pasangan, saya ajak diorang jalan-jalan di Songkhla,” kata lelaki berkenaan.
Menerusi video tersebut, dia turut merakamkan suasana di sekitar pasar yang menjual pelbagai aneka juadah makanan Thailand.
Tawaran Khusus Buat Warganegara Malaysia
Menerusi video itu juga, lelaki berkenaan turut menyatakan bahawa tawaran tersebut hanya terbuka buat warganegara Malaysia sahaja.
Malah, pakej RM2,500 tersebut turut termasuk dengan beberapa perkara antaranya seperti berikut:
- Pengangkutan – pasangan boleh meletakkan kereta di sempadan & menggunakan kereta miliknya
- Tol dan minyak
- Bayaran di Majlis Agama Islam
- Hotel bagi satu malam
- Makan (tiga kali sehari)
- Bayaran di konsulat
- Gambar dan video akad nikah
- Wifi dalam kereta
Namun, mas kahwin tidak termasuk dalam pakej ini dan caj tambahan akan dikenakan buat pasangan yang mahu melangsungkan pernikahan pada hujung minggu.
Lelaki itu yang telah menawarkan perkhidmatan sejak tahun 2008 turut menetapkan pasangan perlu membuat bayaran sebanyak RM500 sekiranya tarikh telah ditetapkan.
Video Undang Pelbagai Reaksi Dari Warganet
Video berkenaan nyata mengundang pelbagai reaksi dari warganet. Rata-rata warganet hanya mahu bertanyakan pakej jalan-jalan berbanding pakej pernikahan yang disediakan oleh pemuda berkenaan.
Namun, ada juga segelintir yang menunjukkan rasa minat terhadap pakej tersebut hingga ada yang turut bertanyakan soalan mengenai prosedur pernikahan di sempadan Thailand itu.
Untuk info, pasangan warganegara yang bernikah di luar negara antaranya seperti di Thailand perlu mendaftarkan semula perkahwinan di Malaysia.
Berdasarkan Seksyen 40 (2) Akta 303 Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, jika pasangan lewat atau gagal mendaftarkan perkahwinan melebihi enam bulan, mereka akan didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Malah, pasangan juga perlu sedar dengan risiko yang bakal dihadapi jika terjebak dengan sindiket atau pernikahan yang tidak sah.
Antaranya seperti isteri yang dikahwini akan hilang kelayakan dalam menuntut hak-hak sebagai isteri jika berlaku penceraian. Anak-anak juga boleh terkesan jika perkahwinan itu tidak sah.
Berikut antara komen netizen: