fbpx
Now Reading
Pelajar Perempuan Tingkatan Dua Diugut Rogol Oleh Rakan Sekolah

Pelajar Perempuan Tingkatan Dua Diugut Rogol Oleh Rakan Sekolah

Menurut guru sekolah berkenaan, pelajar lelaki terbabit sebenarnya menghidap autisme dan sering membuat gangguan berunsur seksual kepada pelajar perempuan yang lain.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kes gangguan seksual pada masa kini dilihat semakin berleluasa. Lazimnya, kes ini sinonim dan berlaku dalam kalangan wanita terutama di tempat kerja.

Namun, gangguan ini dilihat turut berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan juga pelajar sekolah. Apa yang mengejutkan adalah perbuatan itu kadang-kala dilakukan oleh rakan sebaya mereka.

Lelaki Dedah Anak Dapat Ugutan Rogol Daripada Rakan Sebaya

Seorang bapa yang dikenali sebagai Nazri mendedahkan anak perempuannya yang berusia 14 tahun telah menerima ugutan rogol daripada rakan sekolah.

Menurut lelaki itu, anak perempuannya menerima ugutan tersebut selepas dia mahu melaporkan perbuatan pelajar lelaki terbabit kepada guru sekolah mereka.

Menerusi hantaran yang dikongsikan di Facebook milik Nazri, pada mulanya pelajar lelaki itu didakwa melihat anak perempuan serta beberapa rakan anaknya di bahagian bawah badan.

Tidak selesa dengan pandangan tersebut, rakan anaknya menegur pelajar lelaki berkenaan namun teguran itu dibalas dengan “kau kenapa, nak kena rogol ke?”

Tidak berapa lama kemudian, kumpulan pelajar perempuan berkenaan sekali lagi terserempak dengan pelajar lelaki terbabit dan memaklumkan mahu melaporkan insiden tadi kepada guru.

Pelajar Lelaki Bertindak Agresif, Rentap Tudung Salah Seorang Pelajar Wanita

Pelajar lelaki itu kemudiannya menghampiri anak Nazri dan menyatakan “kau report aku rogol kau”. Terkejut dengan kenyataan remaja lelaki itu, anak perempuannya bertindak mengetuk lengan remaja berkenaan dengan botol air sebagai tanda untuk melindungi diri.

Namun, perbuatan itu nyata mengundang padah apabila kepalanya digoncang, tudung direntap dan dikoyakkan serta bahagian atas dada turut dipukul oleh pelajar lelaki itu.

Bapa Buat Aduan, Guru Dakwa Pelajar Lelaki Berkenaan Pelajar Autistik

Nazri yang kebetulan sampai awal di sekolah pada hari kejadian terkejut melihat keadaan tidak terurus anak perempuannya ketika pulang.

Dia kemudiannya mencari pelajar lelaki berkenaan setelah anak perempuannya menceritakan mengenai insiden itu.

Nazri menjerit nama pelajar lelaki itu namun dia melarikan diri setelah mendengar namanya dipanggil dan kejadian itu turut disedari oleh beberapa orang guru.

Walau bagaimanapun, setelah mengadu kepada beberapa guru mengenai perbuatan pelajar lelaki berkenaan, respon yang diberikan nyata mengecewakannya.

Menurut guru sekolah berkenaan, pelajar lelaki terbabit sebenarnya menghidap autisme dan sering membuat gangguan berunsur seksual kepada pelajar perempuan yang lain.

“Ada cikgu-cikgu di situ cakap budak (pelajar) itu memang banyak kali buat (gangguan) macam ni. Sudah banyak laporan. Bila berdepan dengan cikgu-cikgu, depa (mereka) pun buka cerita yang budak tu autistik. 

“Dengan mimik muka cikgu yang seolah saya dan anak saya buat satu kesalahan besar bila hendak kejar dan mengadu hal ni. ‘Encik tahu tak dia autistik’? Saya tanya balik, kalau dia autistik, bebas untuk buat kekasaran tanpa tindakan?

“Dia bebas untuk buat serangan seksual tanpa tindakan? Hendak tunggu something nasty berlaku nanti baru hendak ambil tindakan?” tulisnya menerusi hantaran tersebut.

Mahu Ibu Bapa Turut Terlibat Sama

Ekoran daripada kejadian ini, dia mahu ibu bapa pelajar lelaki berkenaan turut terlibat dalam menangani masalah itu. Malah, dia juga mengambil keputusan untuk membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

“Bila sudah berlaku, terhadap anak saya pula, hendak saya berdiam diri? Tunggu sampai betul terjadi baru bertindak. Minta maaf, saya bukan begitu. Libatkanlah ibu bapa dia kalau anak dia tak boleh dipertanggungjawabkan,” tegasnya.

Foto: Facebook
Foto: Facebook
Foto: Facebook
Foto: Facebook
Foto: Facebook

Polis Sahkan Ada Terima Laporan

Dalam pada itu, menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, pihaknya ada menerima laporan mengenai insiden berkenaan pada jam 2.02 petang semalam (17 Disember) dan tangkapan terhadap suspek akan dibuat hari ini (18 Disember).

“Mangsa dalam kes ini yang merupakan seorang pelajar perempuan tingkatan dua di sebuah sekolah kerajaan menerima ugutan rogol dan dipukul pada bahagian dada oleh seorang pelajar lelaki tingkatan dua yang dikenali daripada sekolah yang sama,” kata beliau yang dipetik dari Utusan Malaysia.

Tambah Mohd Iqbal lagi, pelajar perempuan berkenaan telahpun mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Kes kini disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan yang boleh mengganggu siasatan polis.

Malah, beliau juga menjemput mana-mana individu mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mira Noraien ditalian 011-11430765.

Baca Artikel Berkaitan: Kes Buli MCKK: KPM Tegas Tiada Kompromi Dalam Kes Buli & Gangguan Seksual

Baca Artikel Berkaitan: Kes Lelaki Jadi Mangsa Gangguan Seksual Meningkat

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.