fbpx
Now Reading
Kes Lelaki Jadi Mangsa Gangguan Seksual Meningkat

Kes Lelaki Jadi Mangsa Gangguan Seksual Meningkat

Menurut KPWKM, kes gangguan seksual dalam kalangan lelaki menerusi laporan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) semakin meningkat.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum sedia maklum bahawa kes gangguan seksual dalam kalangan masyarakat di Malaysia dilihat semakin berleluasa.

Antara lokasi yang sering terjadinya kes jenayah ini adalah seperti di dalam pengangkutan awam, sekolah dan tempat kerja.

Malah, kes sedemikian bukan sahaja berlaku dalam kalangan wanita, tetapi para lelaki juga turut menjadi mangsa.


Gangguan Seksual Dalam Golongan Lelaki Meningkat

Terbaharu, laporan berkaitan mangsa gangguan seksual membabitkan golongan lelaki yang diterima oleh Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) menunjukkan peningkatan.

Hari ini (5 Disember), Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, kementeriannya menerima sebanyak 1,486 kes aduan mengenai gangguan seksual menerusi PSSS sepanjang tempoh 14 siri Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual dilangsungkan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 411 kes (27.7%) melibatkan mangsa lelaki,” jelasnya.

Tambahnya, PSSS menerima sejumlah 1,213 laporan daripada mangsa gangguan seksual sepanjang 12 siri Program Jerayawara sejak dilancarkan Mei lalu.

Laporan tersebut membabitkan seramai 351 individu iaitu 28.9% dari kalangan lelaki.

Untuk info, Program Jerayawara telah dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk meningkatkan kesedaran orang awam di 14 buah negeri melibatkan 19,423 peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.


Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual Tunjuk Keberkesanan

Dalam pada itu, Aiman Athirah memaklumkan program berkenaan telah menunjukkan keberkesanan di mana sebanyak 97.6% maklum balas peserta menunjukkan peningkatan terhadap tahap kesedaran dan pemahaman berkaitan gangguan seksual.

Sementara itu, program advokasi turut dijalankan bersama pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai langkah pencegahan serta meningkatkan kesedaran gangguan seksual di premis masing-masing.

“Sebanyak 54 program advokasi telah dilaksanakan dengan pelbagai pihak termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) membabitkan 9,354 peserta.

“Selain itu, promosi serta hebahan juga diperluas melalui media sosial dan media massa membabitkan seramai 3.5 juta pendengar, penonton dan pembaca,” katanya.


Buat Aduan Sekiranya Anda Jadi Mangsa Gangguan Seksual

Sekiranya jenayah gangguan seksual ini berlaku pada diri anda, jangan berdiam diri sahaja. Anda dinasihatkan untuk memberi amaran kepada si pelaku.

Selain itu, anda juga harus membuat aduan kepada kenalan terdekat seperti ibu bapa atau pihak berkuasa agar tindakan selanjutnya boleh diambil.

Kalau anda nak tahu, terdapat beberapa undang-undang di Malaysia yang berkuat kuasa terhadap kesalahan gangguan seksual dalam kalangan masyarakat. Antaranya:

#1. Seksyen 354 Kanun Keseksaan
  • Menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah ke atas seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatannya.
  • Hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
#2. Seksyen 509 Kanun Keseksaan
  • Mengaibkan kehormatan seseorang dengan menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat atau menunjukan apa-apa benda.
  • Hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda.
#3. Seksyen 355 Kanun Keseksaan
  • Menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak menjatuhkan kehormatan.
  • Penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Baca Artikel Berkaitan: Kemaluan Anak Disentuh Individu Tak Dikenali, Ibu Ini Luah Rasa Kesal

Baca Artikel Berkaitan: “Nak Tengok Dah Sunat Ke Belum” – Pekerja Restoran Didakwa Tarik Seluar Budak Lelaki Di Tandas

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.