fbpx
Now Reading
Tak Tahu Kaedah Pembahagian Harta Pusaka Dalam Islam? Ini Perkongsiannya

Tak Tahu Kaedah Pembahagian Harta Pusaka Dalam Islam? Ini Perkongsiannya

Pentadbiran harta pusaka ini sebaiknya dirancang dan dibuat semasa hidup agar tidak mendatangkan masalah pembahagiannya di kemudian hari.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Bila sentuh bab pembahagian harta pusaka, pasti masih ramai yang keliru malah ada yang tidak tahu langsung mengenai kaedahnya pembahagiannya dalam Islam.

Susulan itu, seorang influencer yang dikenali sebagai Faisal Rahim telah tampil berkongsi ilmu mengenai kaedah pembahagian harta pusaka.

Menerusi bebenang di akaun X (Twitter) miliknya @Acaiijawa, Faisal berkata terdapat lima kaedah pembahagian harta pusaka yang telah ditetapkan dalam Islam mengikut urutan.

Berikut adalah kaedahnya mengikut urutan:

#1 Bayar Hutang

Dalam Islam, setiap manusia yang berhutang wajib melunaskannya sekalipun si penghutang telah meninggal dunia.

Oleh itu, ahli keluarga si penghutang wajib menjelaskan dahulu segala hutang yang dimiliki arwah sebelum melakukan pembahagian harta pusakanya.

Gambar sekadar hiasan (Foto: Pexels)

#2 Hibah

Hibah merupakan antara perkara penting dalam perancangan harta menurut undang-undang Islam dan hibah ini mestilah dilakukan semasa hidup sahaja.

Menurut Faisal, terdapat dua jenis hibah iaitu Hibah Mutlah iaitu pindah milik 100% semasa hidup dan Hibah Bersyarat (pindah milik selepas mati).

Gambar sekadar hiasan (Foto: Pexels)

“Hibah sebenarnya boleh dibuat di syarikat yang menguruskan urusan hibah/harta pusaka seperti Wasiyyah Shopee, Assalihin Trustee dan Amanah Raya.

“Bila mati, mereka akan bantu uruskan harta kita sampai dapat Surat Tadbir Pusaka (pindah harta si mati kepada waris). Proses tersebut panjang dan rumit, makan masa berbulan malah ada yang bertahun sehingga jadi penyebab harta beku,” katanya.

Susulan itu, dia menyarankan untuk melakukan ‘survey’ terlebih dahulu kerana konsep dan pakej yang ditawarkan oleh setiap syarikat yang menawarkan servis tersebut adalah berbeza.

Baca Artikel Berkaitan: Penerima Hibah Meninggal Dunia? Ini Apa Yang Anda Perlu Lakukan

#3 Wasiat satu pertiga (1/3)

Wasiat merupakan pemberian atau sumbangan oleh seseorang kepada orang mahupun pihak lain setelah dia meninggal dunia sama ada perkataan wasiat itu diucapkan ataupun tidak.

Jelas Faisal, dia menyarankan agar tidak membuat wasiat dengan menggunakan perkhidmatan peguam untuk yang beragama Islam kerana jika salah seorang waris tidak bersetuju maka wasiat tersebut akan terbatal.

Sebaliknya, lantik wasi iaitu orang yang akan menguruskan harta bila seseorang itu sudah meninggal dunia.

Tujuan wasiat adalah untuk membuat amal jariah seperti sedekahkan satu pertiga harta yang dimiliki kepada masjid, sekolah, pusat tahfiz, anak angkat dan sebagainya.

#4 Harta sepencarian

Harta sepencarian merupakan harta yang diperoleh dalam masa perkahwinan seorang suami dengan isterinya hasil daripada sumber-sumber atau usaha mereka bersama.

Menurut Faisal lagi, sekiranya seorang suami atau isteri mempunyai harta sebelum berkahwin, maka ia tidak dimasukkan dalam harta sepencarian.

Gambar sekadar hiasan (Foto: Pexels)

“Isteri boleh menuntut harta sepencarian sekiranya mereka mahu, tuntut di Mahkamah Syariah ke atas harta yang dia fikirkan atau dicadangkan hasil bersama.

“Mahkamah akan menetapkan peratusan yang akan diperolehi. Maksimum harta sepencarian adalah satu perdua (1/2) dan biasanya akan dapat lebih rendah,” katanya lagi.

#5 Faraid

Faisal berkata, selepas kesemua urusan yang dinyatakan tadi telah diselesaikan, baki harta tersebut barulah boleh difaraid.

Ujarnya, pada asasnya jika kesemua adik beradik bersetuju dan berbaik dalam pembahagian herta pusaka si mati, maka tiada isu dan tak perlu membawa hal tersebut ke Mahkamah Syariah.

“Pembahagian faraid secara sama rata sebenarnya secara teknikal apabila adik beradik lelaki melepaskan haknya atas dasar kasih sayang kepada adik beradik perempuan. Bila masing-masing faham begini, barulah semua hargai antara satu sama lain.

“Tapi bila ada pertikaian, mahkamah akan putuskan dan keluarga Sijil Faraid. Sijil ini diperlukan semasa urusan di Pejabat Pusaka Kecil (harta bawah RM2 juta) atau Mahkamah Sivil (harta lebih RM2 juta) masa nak ‘liquidity’ harta,” ujar Faisal.

Berkongsi lanjut, Faisal berkata pentadbiran harta pusaka ini sebaiknya dirancang dan dibuat semasa hidup agar tidak mendatangkan masalah pembahagiannya di kemudian hari.

Baca Artikel Berkaitan: Suami Meninggal, Isteri Boleh Keluarkan Duit Dari Akaun Arwah Atau Tidak?

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.