Mufti WP Saran Pekerja Islam Bank Konvensional Usaha Cari Pekerjaan Halal Lain, Elak Terlibat Riba
Menurut Mufti WP, bank konvensional dan bank islamik adalah daripada industri yang sama namun hakikatnya berbeza dari sudut pengurusan, penghasilan dan sebagainya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Mufti Wilayah Persekutuan (WP) menyarankan para pekerja beragama Islam di sesebuah bank konvensional agar berusaha sebaik mungkin mencari pekerjaan halal yang lain.
Menjawab satu soalan yang diajukan mengenai hukum bekerja di bank konvensional, Mufti WP menerusi laman sesawang rasminya berkata, hal ini kerana institusi kewangan terbabit melibatkan muamalat riba.
“Bank konvensional adalah melibatkan muamalat riba, maka bagi mereka yang sudah melibatkan diri dalan dunia pekerjaan di bank konvensional, mereka perlu berusaha sebaik mungkin untuk mencari pekerjaan halal yang lain,” katanya.
Bank konvensional dan bank islamik adalah berbeza
Menurutnya, bank konvensional dan bank islamik adalah daripada industri yang sama namun hakikatnya berbeza dari sudut pengurusan, penghasilan dan sebagainya.
Jelas Mufti WP, perbezaan yang jelas adalah pada keuntungan kedua-dua jenis bank di mana perbankan Islam diperoleh daripada transaksi yang dibenarkan syarak seperti kontrak jual beli.
Katanya, faedah dalam perbankan konvensional pula diperoleh secara langsung daripada kontrak pinjaman di mana ia tidak dibenarkan oleh syarak kerana membawa kepada riba.
Dalam pada itu, beliau turut menyenaraikan dua golongan yang bekerja di dalam perbankan konvensional yang mana hukumnya adalah haram dan harus.
Golongan pertama terlibat secara langsung dengan transaksi riba, hukumnya haram
Kata Mufti WP, golongan pertama ialah mereka yang bekerja secara langsung dengan transaksi riba, maka pekerjaan itu hukumannya adalah haram.
“Antara pekerjaan yang terlibat secara langsung dengan transaksi riba termasuklah mereka yang bertugas sebagai teller (melayan pelanggan dalam melakukan transaksi di bank), pegawai pemasaran, penganalisis kredit, account officer, bahagian admin kredit, akauntan, pegawai audit, barisan kepimpinan bank dan seumpamanya.”
Mufti Wilayah Persekutuan
Golongan kedua tidak terkait langsung dengan transaksi riba, hukumnya harus
Ujarnya lagi, golongan kedua pula mereka yang bekerja tidak terkait langsung dengan transaksi riba seperti pegawai keselamatan, tukang bersih dan sebagainya adalah harus hukumnya.
“Hal ini kerana pekerjaan mereka tidaklah berkait dengan sebarang transaksi riba sama ada memasarkan produk, menyediakan produk, mengisi perjanjian dan sebagainya lantas mengeluarkan mereka daripada tergolong dalam mereka yang disebutkan dalam hadis,” katanya lagi.
Di akhir perkongsiannya, Mufti WP sekali lagi berpesan kepada para pekerja bank konvensional yang terlibat dalam riba agar berusaha sebaik mungkin untuk mencari pekerjaan halal yang lain.
Untuk maklumat lebih lanjut, sila ke laman web Mufti Wilayah Persekutuan.