fbpx
Now Reading
Pejabat Mufti WP Perjelas Hukum Pengunaan Susu Ibu Dalam Produk Makanan

Pejabat Mufti WP Perjelas Hukum Pengunaan Susu Ibu Dalam Produk Makanan

Menurut Pejabat Mufti WP, lebihan susu ibu lebih penting diberikan kepada bayi susuan secara langsung kerana keperluannya yang sangat getir bagi proses tumbesaran bayi.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kebelakangan ini, berlaku kepelbagaian inovasi terhadap susu ibu untuk dijadikan produk-produk seperti perhiasan, kosmetik, sabun serta produk makanan yang mengandungi komponen susu ibu.

Sebagai contoh, sumber kultur probiotik daripada susu ibu untuk dijadikan sebagai salah satu bahan dalam produk makanan.

Susulan itu, seorang individu meminta pencerahan berkenaan isu susu ibu yang digunakan secara meluas kepada Mufti Wilayah Persekutuan (WP).

Penggunaan susu ibu dalam makanan dilarang

Menurut Pejabat Mufti WP, penggunaan susu ibu dalam makanan adalah dilarang kerana bertentangan dengan Maqasud al-Syar’iyyah iaitu menjaga keturunan.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, jabatan itu menjelaskan susu ibu tidak boleh diperlakukan seperti harta yang dieksploitasikan memandangkan pensyariatan serta kebaikannya hanya untuk bayi.

Lebihan susu ibu lebih penting diberikan kepada bayi susuan

Jelasnya, lebihan susu ibu lebih penting diberikan kepada bayi susuan secara langsung kerana keperluannya yang sangat getir bagi proses tumbesaran bayi berbanding kegunaan untuk produk yang akan dikomersialkan.

“Perkara ini juga dilarang sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kekeliruan percampuran nasab. Produk berasaskan susu ibu untuk kategori bayi berkemungkinan boleh berlaku pensabitan nasab bayi apabila produk diberikan secara berkala.

“Selain itu, keperluan kepada produk yang bersumberkan probiotik susu ibu bukan pada tahap keperluan mendesak dan ia hanya bersifat alternatif dan kategori pelengkap,” katanya.

Pandangan yang tidak benarkan penjualan susu ibu lebih sesuai digunakan pada zaman ini

Sehubungan itu, Pejabat Mufti WP berkata pandangan yang tidak membenarkan penjualan susu adalah lebih sesuai pada zaman ini serta dianggap sebagai langkah berjaga-jaga agar manfaat susu ibu tidak dieksploitasi bagi tujuan pemasaran.

“Malahan, sekiranya berlaku lebihan susu ibu untuk keperluan bayi, maka sebaiknya diberikan kepada bayi lain yang memerlukan untuk dijadikan bayi susuan,” ujarnya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.