Doktor Perjelas Dua Hormon Dalam Susu Ibu Yang Dihasilkan Pada Belah Siang & Malam [Video]
Susu ibu menghasilkan paling banyak melatonin pada waktu malam dan lebih tiga kali ganda kortisol pada sebelah siang.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ibu yang baru sahaja melahirkan zuriat boleh memilih sama ada untuk memberi susu badan ataupun susu formula dibancuh.
Menurut satu jenama pam susu badan, Medela, susu ibu seolah-olah seperti bahan hidup yang boleh berubah mengikut keperluan bayi dalam perkembangannya.
Ia mengandungi pelbagai khasiat seperti protein, lemak, vitamin, mineral dan sel hidup seperti sel stem. Sel stem boleh berubah menjadi sel badan lain seperti tulang, hati dan otak, serta berfungsi sebagai sejenis sistem pemulihan dalaman.
Satu video yang dimuatnaik di TikTok oleh doktor Karan Raj (@dr.karanr) menunjukkan seorang wanita yang berkata bahawa susu badan mengandungi hormon yang berbeza mengikut waktu.
Hormon Kortisol & Melatonin Dalam Susu Badan
Susu ibu pada waktu pagi mengandungi hormon kortisol, manakala di waktu malam pula ia mengandungi melatonin.
Setelah mengetahui mengenai perkara itu, wanita berkenaan mulai mengasingkan dan melabelkan susu badan yang diperah pada waktu siang (AM) dan di sebelah malam (PM).
Kortisol adalah sejenis hormon steroid yang dihasilkan oleh kalenjar adrenal dan berfungsi dalam meningkatkan kecerdasan.
Menurut University of Southern California, hormon kortisol di dalam susu ibu adalah tiga kali ganda lebih tinggi pada waktu pagi berbanding di sebelah malam.
Melatonin pula merupakan hormon yang dihasilkan di dalam otak dan menyelaraskan ritma sirkadian badan.
Merujuk kepada satu kajian, hormon itu dihasilkan mengikut ritma sirkadian terutamanya pada jam 3 pagi. Malah, lebih banyak hormon dihasilkan bagi ibu dengan bayi pramatang.
Hormon melatonin paling banyak dihasilkan di peringkat kolostrum, diikuti dengan fasa peralihan susu dan akhirnya susu ibu matang.
Bayi Bergantung Kepada Isyarat Luaran Untuk Tahu Waktu Tidur
Karan menjelaskan bahawa bayi yang baru dilahirkan masih belum mempunyai jam biologi sendiri.
Katanya lagi, bayi tidak menghasilkan melatonin dalam jumlah yang banyak sehingga berumur sekitar tiga bulan.
Oleh yang demikian, bayi bergantung kepada isyarat luaran untuk membantu mereka membangunkan pemahaman tentang waktu malam dan siang, serta membina ritma sirkadian mereka.
Bayi Minum Susu Dipam Pada Malam Lebih Cepat Tidur
Menurut Karan, penyelidik telah menjalankan kajian untuk melihat sama ada susu badan pada waktu yang berbeza mempengaruhi corak tidur bayi.
Hasil kajian menunjukkan bahawa bayi yang minum susu dipam pada waktu malam tidur lebih cepat sedikit berbanding bayi diberi susu ‘salah waktu’ (dipam waktu pagi).
Walau bagaimanapun, memandangkan kajian tersebut berskala kecil dan dijalankan secara soal selidik, Karan berkata tidak pasti jika memberi susu ‘salah waktu’ sama seperti mendedahkan bayi kepada lampu pada waktu malam.
Untuk mengkalibrasi ritma sirkadian bayi dengan lebih berkesan, Karan mencadangkan supaya bayi didedahkan kepada cahaya pada waktu siang dan mengurangkan sumber cahaya ketika malam.
Baca Artikel Berkaitan: Pejabat Mufti WP Jelaskan Hukum Pengunaan Susu Ibu Dalam Produk Makanan
Baca Artikel Berkaitan: “Meriahnya Rezeki Susu Anak-anak” – Tindakan Wanita Ini Kongsi Susu Badan Dipuji Netizen
Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Tips Berpuasa Untuk Bantu Ibu Yang Sedang Menyusu Bayi