fbpx

Syarikat Bas Di Singapura Tawar Gaji Lebih RM17,000 Sebulan Untuk Pemandu, Ramai Berebut Mohon

Menurut Pengarah Pembangunan Perniagaan Westpoint, syarikat menawarkan jumlah gaji yang tinggi itu untuk menjadikannya sebagai pilihan kerjaya dan boleh diterima generasi muda Singapura.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Satu iklan dari sebuah syarikat bas di Singapura yang menawarkan gaji sebanyak S$5,000 (RM17,660) sebulan untuk jawatan pemandu bas telah mendapat sambutan yang luar biasa.

Syarikat tersebut yang dikenali sebagai Westpoint Transit Pte Ltd mula membuka iklan kerja bagi jawatan terbabit pada 14 Disember 2023 dan menutupnya pada 15 Januari lalu bagi permohonan pertama.

Dan hasilnya pada Isnin lalu (22 Januari), syarikat pengangkutan itu telah menerima sebanyak 1,292 permohonan untuk 10 jawatan pemandu bas.

Raih lebih 1,200 permohonan, ada yang miliki ijazah universiti

Memetik laporan Mothership, daripada 1,292 permohonan, 450 di antaranya adalah warganegara Singapura dan 30 orang daripada itu memiliki ijazah universiti.

Pengarah Pembangunan Perniagaan Westpoint, Lionel Lee berkata, mereka pada awalnya berharap untuk menarik sekurang-kurangnya 300 pemohon dalam dua tempoh permohonan.

Bagaimanapun, sambutan yang sangat luar biasa diterima menerusi pengiklanan jawatan terbabit menyebabkan dia berasa teruja.

Menurutnya, kira-kira 60% pemohon adalah warganegara atau Penduduk Tetap (PR) republik itu, manakala selebihnya merupakan rakyat Malaysia, Indonesia, China, India dan Myanmar.

Tawar gaji S$5,000 untuk jadikan ia sebagai pilihan kerjaya generasi muda Singapura

Jelas Lee lagi, syarikat memutuskan untuk menawarkan gaji sebanyak S$5,000 adalah untuk menjadikannya sebagai pilihan kerjaya yang boleh diterima oleh generasi muda Singapura.

“Ada stigma (di Singapura) yang melihatnya sebagai pekerjaan yang sangat berat dan tidak memiliki bayaran yang tinggi,” katanya.

Menurutnya lagi, dia ingin memberikan bayaran permulaan yang sepadan dengan apa yang ditawarkan dalam industri lain.

Harap dapat segarkan semula industri bas, yang lebih cenderung dengan pemandu tua

Sehubungan itu, Lee berharap apa yang dilakukan ini dapat membantu menarik minat generasi pemandu muda di Singapura dan boleh membantu ‘menyegarkan’ semula industri ini yang kebiasaannya hanya bergantung kepada pemandu lebih tua berusia 50 tahun ke atas.

“Jika tidak, kita akan berakhir seperti banyak industri lain yang tidak dapat menarik minat dan bakat warga tempatan,” katanya lagi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.