fbpx
Now Reading
Dr Zulkifli Saran Ibu Bapa Berhenti Sambut Birthday Anak Yang Sudah Meninggal Dunia Di Kubur

Dr Zulkifli Saran Ibu Bapa Berhenti Sambut Birthday Anak Yang Sudah Meninggal Dunia Di Kubur

Menurut Dr Zulkifli, menziarahi kubur adalah bertujuan untuk mengingatkan kita kepada kematian dan hari akhirat, bukannya berkenaan kehidupan mahupun kelahiran si mati.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyarankan ibu bapa berhenti menyambut hari lahir anak yang sudah meninggal dunia di tanah perkuburan.

Dr Zulkifli berkata, perbuatan tersebut sebaiknya ditukarkan dengan menjamu makanan buat anak-anak yatim dan fakir miskin kerana manfaatnya jauh lebih besar kepada individu yang telah meninggal dunia itu, selain dapat memohon keampunan.

“Tindakan sedemikian hendaklah dihentikan dan digantikan dengan doa dan begitu juga digantikan dengan sedekah kepada si mati. Inilah yang dianjurkan dalam Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diajukan pendapat mengenai trend seseorang yang mengadakan sambutan hari lahir anaknya yang sudah meninggal dunia di kubur dengan membawa kek dan menyanyikan lagu ‘happy birthday’.

Ziarah kubur bertujuan untuk mengingatkan diri kepada kematian dan hari akhirat

Menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu lagi, menziarahi kubur adalah bertujuan untuk mengingatkan kita kepada kematian dan hari akhirat, bukannya berkenaan kehidupan mahupun kelahiran si mati.

Oleh itu, Dr Zulkifli berkata, Islam amat menggalakkan umatnya untuk menziarahi kubur dengan tujuan untuk mengingati mati.

Hal ini sebagaimana yang riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Nabi SAW menziarahi kubur ibunya lalu Baginda menangis dan orang yang di sampingnya juga menangis, kemudian Baginda bersabda:

اسْتَأْذَنْتُ رَبِّي في أَنْ أَسْتَغْفِرَ لَهَا، فَلَمْ يُؤْذَنْ لِي، وَاسْتَأْذَنْتُهُ في أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا، فَأُذِنَ لِي، فَزُورُوا القُبُورَ؛ فإنَّهَا تُذَكِّرُ المَوْتَ.

“Aku meminta izin daripada Tuhanku untuk aku beristighfar baginya (bagi ibuku), maka Dia tidak memberi keizinan kepadaku, dan aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya maka Dia (Allah) membenarkanku, maka ziarahilah kubur kerana ia boleh mengingatkan kepada kematian.”

Riwayat Muslim (976)

Kita tidak tahu hakikat di alam kubur, sebaiknya berdoa kepada si mati

Tambahnya lagi, kita tidak mengetahui akan hakikat mereka di dalam kubur, maka selayaknya kita berdoa kepada si mati sebagai mana yang difirmankan oleh Allah SWT.

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

“Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (daripada Muhajirin dan Ansar) berdoa: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr, ayat 10

Antara yang diajar oleh Nabi SAW:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا اللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى الْإِيمَانِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى الْإِسْلَامِ اللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ.

“Ya Allah, Ampunkanlah dosa orang yang hidup di kalangan kami, yang mati, yang kecil, yang besar, lelaki, perempuan, yang hadir dan yang ghaib. Ya Allah, siapa yang Kamu hidupkannya di kalangan kami maka hiduplah ia di atas iman dan siapa yang mematikannya maka matilah ia di atas Islam. Ya Allah janganlah Kamu halangkan kami dari pahalanya dan sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Dawud (3201), al-Tirmizi (1204) al-Nasa’i (1986), Ibn Majah (1498) dan lain-lain

Baginda ziarahi kubur untuk beri syafaat dengan doa dan ambil faedah ingat kematian

Beliau berkata, mengimbau kepada sunnah dan sirah Nabi Muhammad SAW, Baginda sentiasa menziarahi kubur untuk memberi syafaat kepada ahli kubur dengan doa atau mengambil faedah untuk mengingati kematian serta bermuhasabah diri.

Berkongsi lanjut, Dr Zulkifli berkata, bahkan kita sendiri sebagai umat Islam diajar untuk berdoa agar diselamatkan dari azab kubur nanti.

“Marilah sama-sama kita memohon kepada Allah keampunan-Nya dan diselamatkan daripada azab neraka serta fitnah kubur,” ujarnya.

Untuk penjelasan penuh layari laman sesawang Buku Dr Zulkifli di sini.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.