fbpx
Now Reading
Kenapa Solat Zohor & Asar Dibaca Perlahan, Ini Penjelasannya

Kenapa Solat Zohor & Asar Dibaca Perlahan, Ini Penjelasannya

Menurut Dr Zulkifli di dalam Maktabah Al Bakri bacaan secara perlahan sewaktu solat Zohor dan Asar adalah sunnah dan ia tidak batal namun dianggap sebagai makruh.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Setiap yang bergelar Muslim diwajibkan untuk menunaikan solat lima waktu iaitu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan juga Isyak.

Bukan sekadar menunaikan tanggungjawab mereka yang menunaikan solat juga turut dijanjikan ganjaran pahala, rezeki serta banyak lagi baik secara bersendirian atau berjemaah.

Bercerita tentang solat, pasti anda menyedari kebiasaannya bacaan ayat ketika dalam solat Zohor dan Asar atau dikenali sebagai solat sirriyah dibaca lebih perlahan berbanding solat jahriyyah (waktu Subuh, Maghrib dan Isyak).

Perkara ini kadangkala menimbulkan pertanyaan kepada segelintir umat Islam yang ingin mengetahui apakah maksud disebalik perbuatan itu.

Mengapa bacaan sewaktu solat Zohor dan Asar berjemaah dibaca secara perlahan?

Baru-baru ini, tular di X (Twitter) satu klip video podcast dari Singapura yang dihos oleh Juffri Ahmad bersama seorang pendakwah dikenali sebagai Ustaz Fadhly bertajuk ‘Rasulullah SAW dahulu berdakwah dalam senyap’ untuk episod yang ke 51.

Dalam video tular itu Juffri telah bertanya kepada Ustaz Fadhly mengapa bacaan ayat sewaktu menunaikan solat Zohor dan Asar berbunyi perlahan. Ini kerana, perbuatan itu dilihat sedikit berbeza apabila umat Islam berjemaah pada waktu subuh, maghrib dan juga isyak.

Rasulullah SAW pada suatu ketika dahulu berdakwah secara senyap-senyap

Jelas Ustaz Fadhly, bacaan ayat pada waktu Subuh, Maghrib dan Isyak boleh dibaca secara kuat (jahar).

“Perkara ini disebabkan semasa Rasulullah SAW menerima wahyu pertama kali kemudian sejak itu adanya solat kemudian ada Israk Mikraj ketika Nabi SAW diberikan wahyu oleh Allah SWT untuk solat 50 waktu kemudian jadi lima waktu.

“Kemudian di Mekah dahulu, Nabi SAW berdakwah secara senyap dan baginda tidak terus menyuruh orang ramai solat atau jangan menyekutukan Allah (secara kuat). Tak, senyap-senyap dulu,” jelas Ustaz Fadhly.

Ujarnya sekiranya Nabi SAW membaca (bacaan dalam solat) secara kuat, ramai yang akan mengetahui mengenai dakwahnya. Malah waktu zohor dan asar merupakan waktu aktif orang ramai (kaum musyrikin) dalam melakukan rutin harian mereka.

“Jadi ketika waktu subuh, masih gelap dan semua orang tiada. Tak ada masalah boleh keraskan (kuat) sikit (bacaan ayat dalam solat). Waktu Zohor tengah ada orang, orang tengah kerja jadi senyap senyap.

“Asar pun sama masih ada orang lagi kerja, manakala Maghrib orang sudah balik ke rumah dan tidak ada orang kerja dekat luar apa semua. Jadi boleh keraskan suara. Isyak pun boleh keraskan suara.

“Itulah jawapannya (mengapa bacaan ayat dalam solat zohor dan asar dibaca perlahan),” katanya.

@ohyeke_sg

Kenapa solat zohor dan asar harus baca perlahan eh? Dengarkan episod 51 di Spotify Ramadan Kareem to all✨ #fypsg #fypmalaysia

♬ original sound – Ohyeke? – Ohyeke?

Perbuatan membaca dalam keadaan perlahan semasa solat zohor dan asar adalah sunnah

Menurut Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri menjelaskan di dalam Maktabah Al Bakri adalah sunnah untuk menguatkan suara ketika solat jahriyyah dan memperlahan suara pada solat sirriyyah.

Namun jika seseorang itu menguatkan suara ketika solat Zohor dan Asar, ibadah mereka masih sah dan tidak terbatal bahkan tidak perlu untuk sujud sahwi berdasarkan pendapat dalam mazhab Syafi’i.

Walau bagaimanapun, perbuatan itu dianggap sebagai makruh kerana menyalahi perkara sunnah (tidak mengikut amalan Nabi SAW).

Malah jawapan itu senada dengan penjelasan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus dalam satu kuliahnya. Walau bagaimanapun, kedua-dua ulama berkenaan tidak menyebut tentang kisah Rasulullah SAW ketika berdakwah suatu masa dahulu seperti yang dikongsikan Ustaz Fadhly.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.