Tetamu Buat BBQ Dalam Rumah, Pemilik Inap Desa Terpaksa Basuh Lantai & Jemur Kusyen Sebab Berminyak [Video]
Menurut pemilik homestay, kesan daripada pembakaran BBQ, kediaman miliknya itu berbau asap yang teruk sehingga memerlukan proses pembersihan dilakukan secara menyeluruh.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap kali ingin meluangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan pasti anda akan memilih tempat penginapan yang bersesuaian seperti hotel, resort, atau inap desa (homestay).
Namun untuk penginapan yang boleh dikunjungi ramai kebiasaannya ramai akan memilih homestay kerana keluasan lebih besar selain turut menyediakan pelbagai kemudahan.
Antara kemudahan yang disediakan anda boleh memasak, BBQ, bilik yang lebih banyak serta macam-macam lagi. Walau bagaimanapun, sudah menjadi tanggungjawab tetamu untuk menjaga barangan di dalam homestay dengan baik sewaktu ia didiami.
Pemilik homestay kecewa, tetamu buat bbq dalam rumah
Baru-baru ini, tular satu video memaparkan pemilik homestay yang kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab tetamu yang datang menginap di rumah terbabit.
Menerusi video yang dimuat naik oleh Rumah Tangga Merah di TikTok, pemilik terpaksa membuka semua fabrik seperti alas kaki, sarung bantal dan sebagainya untuk dibasuh kerana sikap tetamu yang membuat bbq di dalam rumah.
Bukan hanya itu, lantai rumah berkenaan juga terpaksa dibasuh kerana berminyak dan rumah berbau asap.
“Semua jenis fabrik terpaksa dibuka dan dibasuh. Kena basuh lantai kerana mop sahaja tidak jalan (tidak dapat menanggalkan kesan kotoran), sebab satu rumah lantai berminyak dan rumah berbau asap,” ujarnya.
Pemilik turut menunjukkan keadaan rumahnya yang terpaksa dibersihkan manakala kusyen serta bantal juga perlu dijemur untuk menghilangkan bau asap bbq tersebut.
Pemilik homestay maklum kepada tetamu seterusnya, sentiasa bersedia jika tempahan dibatalkan kerana keadaan rumah
Apa yang lebih menyedihkan, disebabkan insiden itu pemilik juga terpaksa memaklumkan perkara itu kepada tetamu yang seterusnya serta memahami jika pelanggan ingin membatalkan tempahan atas faktor rumah yang berbau.
“Kami telah menemukan beberapa isu, tetamu sebelum ini telah mengadakan bbq di dalam rumah dan keluar (check out) sangat lambat.
“Susulan itu, unit inap desa mempunyai bau asap dan lantai yang berminyak. Kumpulan pembersihan kami telah berusaha untuk mengatasi masalah ini dalam masa yang terhad.
“Anda dialu-alukan untuk membuat pemeriksaan terlebih dahulu ketika membuat pendaftaran masuk (check in) dan sekiranya tidak berpuas hati, anda juga boleh membatalkan tempahan dan wang akan dipulangkan semula,” tulisnya.
Sifatkan bukan mudah untuk kendalikan inap desa
Dalam kenyataan sama, pemilik turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku kepada tetamu berkenaan.
Dia juga menyifatkan ia bukan suatu perkara yang mudah untuk mengendalikan inap desa terutama apabila berlaku perkara seperti ini.
Melihat di ruangan komen, ramai yang memberi cadangan lain untuk menyelesaikan masalah tersebut seperti menggunakan bukhoor (sejenis wangian yang dibakar) untuk menghilangkan bau asap.
Ada juga yang meminta pemilik menggunakan ‘degreaser’ untuk menghilangkan minyak pada lantai dan banyak lagi.
Tidak kurang juga ada yang berkongsi pengalaman pernah berdepan dengan situasi sama dengan pemiliki inap desa.