Gara-Gara Dapur Gas Meletop Ketika Makan Di Kedai Steamboat, Sekeluarga Sambut Ramadan Di Hospital
Walau bagaimanapun, pihak restoran memaklumkan mereka telah berjumpa dengan keluarga mangsa dan berharap kes dapat diselesaikan dengan sewajarnya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui makan bersama keluarga merupakan antara cara yang dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.
Meskipun masa yang diluangkan tidak lama namun ia memberikan kenangan yang indah buat setiap keluarga. Oleh itu, kebanyakan keluarga akan memilih sama ada ingin makan bersama di rumah atau makan di kedai.
Sekeluarga melecur gara-gara dapur gas meletup
Namun berbeza dengan sebuah keluarga ini apabila detik manis mereka bertukar tragedi apabila melecur disebabkan dapur gas di kedai steamboat meletup.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang wanita di TikTok (@fatynanana) yang memaklumkan disebabkan kejadian itu mereka sekeluarga menyambut Ramadan hari pertama di hospital.
Menerusi beberapa gambar yang ditunjukkan kelihatan setiap ahli keluarga wanita ini mengalami kecederaan seperti di bahagian tangan dan juga muka.
Insiden berlaku sebelum puasa, muka dan tangan melecur
Katanya insiden itu berlaku pada 9 Mac yang lalu dan mereka sekeluarga yang terdiri daripada tujuh orang telah berkunjung ke sebuah kedai makan steamboat di Temerloh.
Malah dalam perkongsian itu dia turut menunjuk seorang lelaki yang dipercayai bapanya mengalami melecur yang teruk di bahagian muka, manakala tangan salah seorang ahli keluarganya terpaksa dibalut mungkin atas kecederaan sama.
“Kami bertujuh makan steamboat di Temerloh dan dapur gas meletup. Kulit muka, tangan terbakar. Dapat surat rujukan (referral) untuk perkar pakar pembedahan plastik.
“Muka habis terbakar, tangan melecur teruk. Pemilik kedai ambil nombor telefon kami dan cakap nak hubungi tapi tak call langsung.
“Kami yang kena hubungi kedai dan minta nombor pemilik. Apabila hubungi nombor kedai dan tanya update tentang kebakar yang menima keluarga kami, admin cakap ‘ini kes tahun lepas kan?’ Sedangkan kes baru jadi,” dakwanya.
Premis masih beroperasi seperti biasa
Wanita itu turut mendakwa pekerja restoran berkenaan tidak memberitahu berhubung insiden yang berlaku ke atas keluarganya dan premis berkenaan masih beroperasi seperti biasa.
“Kedai tak ada insurans dan kata dia orang (kedai) berniaga tak ada untung. Dulu kedai satu pintu, sekarang dua pintu. Sekarang masih aktif promosi untuk berbuka puasa,” dakwanya lagi.
Wanita itu turut berharap ada keadilan buat mereka sekeluarga berhubung insiden tersebut.
Pihak steamboat maklum dah berjumpa keluarga mangsa
Restoran itu menerusi satu hantaran di IG Story memaklumkan laporan polis bagi pihak kedai telah dibuat dan siasatan daripada pihak bomba juga sudah dijalankan.
“Bagi pihak kedai, kami sudah menziarah, berjumpa dan berbincang dengan mangsa pada 11 Mac di rumah dan 14 Mac di hospital. Hasil perbincangan kami sudah mencapai kata sepakat untuk tindakan selanjutnya.
“Laporan polis dari pihak kami pun sudah dibuat, siasatan dari pihak bomba juga telah dijalankan. Keutamaan sekarang adalah untuk mangsa pulih dan selepas itu tindakan selanjutnya dilakukan,” katanya.
Pihak restoran yang dikenali dengan nama Rotarium Buffet Steamboat & Grill turut berdoa mangsa segera pulih dan kes boleh diselesaikan dengan sewajarnya.
Mereka turut memohon maaf atas kekurangan dan kesilapan daripada pihaknya.
Melihat di ruangan komen ramai yang bersimpati dengan nasib menimpa keluarga itu. Malah ada juga yang mengatakan kes seperti ini banyak berlaku di kedai steamboat.
Bukan hanya itu, ada juga yang berasa takut dengan keadaan tersebut apabila berkunjung ke kedai steamboat.