fbpx
Now Reading
Pernah Tular Bawa Bayi 11 Bulan Dengan Alat Bantuan Pernafasan, Bapa Sebak Dapat Bantuan Kereta

Pernah Tular Bawa Bayi 11 Bulan Dengan Alat Bantuan Pernafasan, Bapa Sebak Dapat Bantuan Kereta

Mohd Azlan sebelum ini pernah datang ke kedai kereta milik Daniel untuk mencari kereta terpakai yang berharga RM1,000 – RM2,000 bagi memudahkan urusan dia sekeluarga.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada Isnin (21 Mei) yang lalu, tular di media sosial foto sebuah keluarga yang menaiki motosikal. Apa yang menjadi perhatian adalah si ibu yang dilihat menggendong bayi berusia 11 bulan dengan alat bantuan pernafasan.

Gambar itu nyata menarik perhatian rakyat Malaysia yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib keluarga berkenaan.

Malah, foto yang tular itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menghulurkan bantuan kepada keluarga itu.

Terima Bantuan Kereta, Mudahkan Urusan Ke Hospital

Terbaharu, menerusi perkongsian video oleh seorang pengguna Facebook Daniel Firdaus, bapa bayi berkenaan yang dikenali sebagai Mohd Azlan dilihat sebak ketika menerima bantuan sebuah kereta daripadanya.

Melalui hantaran itu, Daniel memanjatkan rasa syukur apabila proses penyerahan kereta jenis Proton Persona kepada bapa bayi berkenaan berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah selesai proses penyerahan kereta Persona kepada Encik Lan serta isteri. Harap sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban yang dihadapi anaknya yang menghidap paru-paru kronik. Allahu, besar ujian Encik Lan, tapi Encik Lan tetap kuat,” tulis Daniel.

Melalui video yang dikongsikan, kedengaran Mohd Azlan sebak dan menangis ketika menerima kereta tersebut.

Turut kedengaran Mohd Azlan berulang kali mengucapkan ucapan terima kasih kepada Daniel atas bantuan kereta yang diberikan.

Menerusi video itu, bapa bayi berkenaan turut mendoakan agar Daniel dimurahkan rezeki sebagai ganjaran atas kebaikan yang dibuat terhadap mereka sekeluarga.

Foto: Facebook Daniel Firdaus

Pernah Datang Ke Kedai, Cari Kereta RM1,000

Tulis Daniel lagi, Mohd Azlan sebelum ini pernah datang ke kedai kereta miliknya untuk mencari kereta terpakai yang berharga RM1,000 – RM2,000 bagi memudahkan urusan dia sekeluarga berulang alik ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, kedah.

Namun difahamkan pada ketika itu, Mohd Azlan tidak mempunyai wang yang cukup bagi membeli kereta dan sedang mengumpul duit bagi membeli kenderaan tersebut.

Simpati dengan nasib yang menimpa keluarga berkenaan, Daniel menghulurkan bantuan dan memberi peluang kepada Mohd Azlan untuk memilih kereta yang diingini sebelum akhirnya dia memilih kereta Proton Persona itu.

Jelas Daniel, apa yang diharapkan adalah bantuan kecilnya itu dapat membantu meringankan beban keluarga Mohd Azlan.

Foto: Facebook Daniel Firdaus

Ramai Puji Daniel Beri Bantuan

Perkongsian Daniel nyata menarik perhatian warganet. Rata-rata memuji kebaikan yang dibuat olehnya terhadap keluarga berkenaan.

Malah, kebanyakan warganet turut meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diberikan serta mendoakan Daniel sekeluarga dimurahkan rezeki atas kebaikan yang dibuat kepada keluarga Mohd Azlan.

Terdahulu, kisah Mohd Azlan sekeluarga tular apabila seorang pengguna media sosial berkongsi foto dia dan keluarganya sedang menaiki motosikal.

Apa yang menarik perhatian ramai adalah isteri Mohd Azlan yang dikenali sebagai Norhidayu dilihat menggendong bayi lelaki mereka Mohd Aariz Zafran pada ketika itu memakai alat bantuan pernafasan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) kerana mengalami penyakit paru-paru kronik.

Berikut antara komen warganet:

“Semoga Allah Sahaja Membalas Jasa Dan Budi Baik Tuan Pemberi”

“Allah Bagi Kita Rezeki Lebih Untuk Kita Bantu Orang Macam Ni”

“Seronoknya Tengok Mereka Dah Ada Kereta”

“Semoga Allah Luaskan Rezeki Awak & Mudahkan Urusan”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.