Ini Tips Untuk Didik Anak Ilmu Kewangan Mengikut Peringkat Umur
Ibu bapa digalakkan untuk mendidik anak tentang ilmu kewangan sejak daripada kecil lagi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sebagai ibu bapa, anda digalakkan untuk mendidik anak anda dengan ilmu-ilmu yang berguna sejak kecil lagi.
Selain ilmu kemahiran hidup, anda digalakkan untuk mengajar dan mendidik anak anda ilmu berkaitan kewangan.
Ini kerana ibu bapa mempunyai pengaruh yang besar dalam mencorakkan tabiat kewangan anak anda.
Berdasarkan laman web iMoney, berikut merupakan tips atau cara yang boleh anda praktikkan untuk mengajar anak anda berkaitan ilmu kewangan mengikut tahap usia mereka.
#1 Peringkat Pra-Sekolah & Tadika
Pada peringkat ini, anda digalakkan untuk mengajar anak anda nilai duit dan simpanan.
Mulakan dengan memberi si kecil wang dengan jumlah yang kecil dan menggalakkan mereka menabung.
Setiap tempoh enam bulan, wang itu boleh dikeluarkan dari tabung dan anda boleh membuat kiraan bersama dengan anak anda.
Pada masa yang sama, anda boleh mencadangkan kepada mereka untuk menyimpan duit dalam simpanan di bank.
Pada tahap ini juga, sebagai ibu bapa, anda digalakkan untuk membiarkan anak anda membuat pembayaran bagi perkara atau benda-benda kecil. Contohnya, biarkan dia membayar coklat pilihannya di pasar raya.
Ia penting agar mereka tahu duit itu boleh digunakan untuk membeli barang yang mereka mahu.
#2 Peringkat Sekolah Rendah
Jika anda mempunyai anak yang berada di fasa ini, anda digalakkan untuk mengajar mereka tentang pengurusan wang dan perbezaan di antara keperluan dan kehendak.
Dalam fasa ini, kebiasaannya anda akan memberi elaun atau perbelanjaan yang tetap setiap hari kepada mereka khususnya untuk digunakan sebagai perbelanjaan harian.
Ketika ini, ajar anak anda betapa pentingnya nilai duit serta didik mereka untuk berbelanja apa yang perlu dan apa yang tidak.
Ini membolehkan anak anda tahu perkara atau barang mana yang lebih penting untuk diputuskan ketika berbelanja contohnya pilihan di antara makanan ringan atau buku kegemarannya.
Di fasa ini juga anda perlu mendidik mereka tentang nilai sebenar sesuatu barang. Sebagai contoh, sekiranya dia meminta anda membeli permainan video, terangkan kepada mereka mengenai harga kos, serta jumlah simpanan yang perlu ada bagi mendapatkan permainan itu.
#3 Peringkat Sekolah Menengah
Pada peringkat ini, ajar anak anda tentang cara untuk jana wang dan urus duit dalam skala yang besar.
Ibu bapa lazimnya akan memberi duit poket secara bulanan bagi anak-anak yang berumur di fasa ini.
Dengan mendidik mereka tentang cara untuk menguruskan duit dalam skala lebih besar, ia akan membantu anak anda untuk menguruskan duit ketika dewasa kelak.
Contohnya, jika anda memberi duit belanja sebanyak RM300 sebulan kepada mereka, dia sepatutnya tahu yang dia hanya boleh berbelanja sebanyak RM10 sehari.
Sekiranya mereka mahu membelikan sesuatu menggunakan peruntukan belanja sebulan itu, mereka harus sedar yang mereka perlu mengorbankan duit belanja yang diberikan.
Sebaliknya, jika mereka tidak mahu untuk menggunakan belanja bulanan bagi membeli barang yang lain, ajar mereka tentang cara untuk menjana pendapatan tambahan.
Contohnya seperti membuat kerja separuh masa di hujung minggu atau dengan mengupah mereka melakukan kerja rumah.
#4 Peringkat Universiti
Misi utama di peringkat ini adalah untuk mengajar anak anda tentang simpanan, penjanaan pendapatan dan pengurusan hutang.
Sesetengah remaja mungkin telah terbeban dengan hutang pinjaman pendidikan ketika belajar di universiti.
Oleh itu, pentingnya peranan ibu bapa dalam mengajar remaja mengenai cara untuk menyimpan, mengurus dan menjana pendapatan sebelum mereka bekerja secara rasminya.
Pada fasa ini, anak anda akan didedahkan dengan pengalaman seperti latihan industri atau pekerjaan separuh masa.
Dalam tempoh ini juga, anda dinasihatkan untuk mengalakkan anak anda menimba pengalaman sebaiknya dan mengajar mereka tentang pekerjaan yang bersesuaian.
Pengalaman seperti inilah yang dapat mengajar anak anda tentang kepentingan menjana pendapatan serta kesan hutang dalam kehidupan mereka.
Kesimpulannya, sebagai ibu bapa, sudah menjadi tugas anda untuk membimbing anak khususnya berkaitan kewangan.
Ia penting agar ilmu ini dapat digunakan oleh mereka terutamanya ketika berhadapan dengan krisis kewangan pada masa hadapan.
Baca Artikel Berkaitan: