Now Reading
3 hari Terlantar Dek Denggi, Asyraf Dasley Tetap Gigih Wakili Malaysia ke Korea Selatan

3 hari Terlantar Dek Denggi, Asyraf Dasley Tetap Gigih Wakili Malaysia ke Korea Selatan

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Artikel oleh : Deegun Rahman

Setelah menyingkirkan peserta tuan rumah di peringkat separuh akhir, wakil Malaysia, Asyraf Dasley, 29, terus mengharumkan nama negara apabila meraih kedudukan tiga terbaik dalam pertandingan Face of Asia 2020 (FOA 2020).

Diadakan secara maya, pencapaian Asyraf itu sekali gus melayakkannya mara ke pentas final FOA 2020 yang bakal berlangsung ketika penganjuran Asia Model Awards 2020 di Korea Selatan pada tahun depan.


Pernah membintangi beberapa buah drama Melayu tempatan, bagaimanapun Asyraf akur untuk mengutamakan pengajiannya di peringkat doktor falsafah (PhD) sebelum meneruskan kembali niatnya bergiat aktif bergelar pelakon.

“Sepanjang tempoh semifinal yang bermula pada pertengahan November lalu, saya diuji apabila menghidap demam denggi dan terlantar selama tiga hari.

“Kondisi itu menjadikan saya sedikit gusar kerana tugasan diberi pihak penganjur masih tidak disempurnakan, malah ada yang belum dimulakan.

“Namun sebaik sembuh, saya tekad gandakan usaha menyiapkan kerja- kerja yang tertangguh sebelum tiba tarikh akhir. Walaupun rasa jerih, Alhamdulillah ia berbaloi dengan kejayaan ini,” cerita anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu.

Foto : IG Asyraf Dasley


Terdahulu, berita gembira itu diumum menerusi platform media sosial milik FOA 2020 oleh pihak penganjur pada 4 Disember lalu dan Asyraf akui tidak sabar untuk mewakili negara ke Korea Selatan kelak.

Pada masa sama, Asyraf turut mengalu-alukan penaja yang sudi hulurkan tajaan dalam bentuk wang tunai bagi mempermudahkan urusannya bersiap sedia demi menggalas nama negara.

Berprofesion selaku model profesional terkemuka, naib juara pertandingan pencarian bakat Mister Planet Nation Malaysia 2016 (MPM 2016) itu amat berterima kasih kepada barisan penaja yang membantunya hingga ke mencapai tahap ini.

© 2021 BuzzKini. All Rights Reserved.