“Harta Sepencarian 1 Sen Tak Tuntut”- Didakwa Minta Duit Lebih Banyak, Puteri Sarah Dedah Ia Ikut Kemampuan Syamsul Yusof [Video]
Kata Syamsul Yusof, perjanjian asal itu telah ditukar oleh Puteri Sarah dan meminta wang lebih lagi dari yang dipersetujui sebelum ini.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam (18 April) sepatutnya adalah tarikh pengarah terkenal, Syamsul Yusof melafazkan cerai terhadap isterinya pelakon, Puteri Sarah selepas mereka menemui kata sepakat dan setuju untuk mengakhiri perkahwinan tersebut.
Namun, pasangan selebriti ini tidak bercerai apabila Syamsul enggan melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya itu.
Difahamkan ia disebabkan beberapa punca antaranya Puteri Sarah tidak mahu menarik semula saman terhadap Ira Kazar dan keluarga, selain isu pengurangan nafkah anak dan juga permintaan jumlah mutaah yang tinggi.
Baca artikel berkaitan: Syamsul Yusof Tak Jadi Lafaz Cerai, Gara-Gara Puteri Sarah Enggan Tarik Saman Terhadap Ira Kazar
Syamsul Yusof tampil jelaskan isu sebenar elak fitnah dan kekeliruan
Susulan itu, Syamsul Yusof menerusi satu muat naik di Instagram tampil menjelaskan isu sebenar agar tidak menimbulkan fitnah dan kekeliruan kepada orang ramai.
Katanya, pada minggu lalu dia dan aktres berkenaan telah berjumpa dan berbincang mengenai apa yang dimahukan oleh masing-masing bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga itu.
“Dia minta satu jumlah (wang) yang boleh saya katakan besar dan ramai yang tidak bersetuju namun saya bersetuju dengan apa yang Sarah minta.
“Saya kata okay, saya boleh berikan apa yang dia nak. Insha-Allah mudah-mudahan semuanya akan okay. Sarah juga minta saya tarik kes nusyuz dia berkaitan dengan suami orang, saya kata okay boleh tarik,” ujarnya.
Minta Puteri Sarah tarik semula saman terhadap Ira Kazar
Jelas pengarah itu, dia turut meminta agar aktres berkenaan untuk menarik semula saman terhadap isteri keduanya, Ira Kazar kerana tidak mahu memanjangkan lagi isu tersebut dan boleh meneruskan kehidupan dengan lebih baik, berlapang dada demi dua cahaya mata mereka.
“Alhamdulillah dia bersetuju dan saya juga bersetuju. Syukur kita dah capai kata sepakatlah. Tapi pada beberapa hari sebelum hari ini (18 April) saya tiba-tiba mendapat satu persetujuan baharu daripada Sarah dan juga peguamnya.
“Ia secara totalnya berlainan daripada persetujuan asal itu, jadi pihak Sarah yang menukar secara tiba-tiba, meminta lagi berlebih-lebihan, meminta duit yang lebih banyak, meminta harta-harta yang lebih banyak.
“Yang pada saya tidak masuk akal, tetapi Sarah juga memaklumkan agar tidak memberitahu sesiapa apa yang dimintanya ini. Saya memang tidak akan beritahu. Namun sekarang ini Sarah menukar cerita bahawa saya yang menukar perjanjian, saya yang U-turn” katanya.
Dakwa perjanjian tersebut ditukar oleh Puteri Sarah, buat keputan untuk lawan di mahkamah
Ujarnya ia tidak seperti itu, dakwa pelakon tersebut yang menukar perjanjian itu walhal pada awal mereka telah bersepakat seperti apa yang dibincangkan sebelum ini.
“Disebabkan Sarah tidak mahu capai kata sepakat yang baik. Dia menukar perjanjian asal jadi saya buat keputusan untuk lawan dalam kes ini. Saya pelik juga pada asalnya tidak ada melibatkan tentang nusyuz ataupun kes Ira.
“Itu bukan isu sebenarnya, isu Sarah kenapa tiba-tiba minta duit lagi ni saya tak faham. Padahal yang diberikan itu pun dah lebih dari yang perlu. Itu yang saya katakan tadi ramai yang tak setuju, peguam saya tak setuju bagi Sarah satu amount (jumlah) yang besar.
“Tapi dia minta lebih-lebih dan lebih lagi jadi kalau itu pilihan Sarah saya tak boleh dapatkan kata sepakat atau persetujuan dan kita terpaksa fight (lawan) lah.” jelasnya yang akan menyerahkan segala keputusan kepada pihak mahkamah.
Puteri Sarah dakwa jumlah yang dituntut adalah mengikut kemampuan Syamsul
Dalam pada itu, Puteri Sarah menerusi hantaran di InstaStory miliknya mendakwa apa yang diminta adalah berpatutan dan mengikut kemampuan suaminya, Syamsul Yusof.
“Suruh tarik nusyuz? Hello bro, kalau saya failkan nusyuz kepada awak dan tunjuk video tidak senonoh awak dengan Ira, gambar tak senonoh masa sebelum kahwin rasanya nusyuz awak lebih teruk kot.
“Dengan Ira mengaku kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) persetubuhan luar nikah, siapa yang nusyuz? Malah mutaah dan nafkah tertunggak RM500,000, saya minta bayar setiap tahun RM100,000 tu awak mampu kot?,” tulisnya.
Tambah aktres itu lagi perkara tersebut juga telah dibincangkan bersama ibu mentuanya, Datin Patimah Ismail yang menyatakan ia berpatutan.
“Harta sepencarian 1 sen pun saya tak tuntut. Boleh je jual Lambogini (kereta) yang awak banggakan tu untuk bayar nafkah. Kereta banyak-banyak buat apa?
“Jual lah buat bayar nafkah, dan tak payah tarik nusyuz. Biar mahkamah tentukan siapa yang nusyuz.”
Tambahnya buat pengetahuan Syamsul, nafkah yang diberikan itu hanya cukup-cukup makan, dan nafkah dirinya sebagai isteri sudah bertahun tidak ditunaikan.
“Nafkah isteri tidak ada bertahun. Jadi janganlah gembira sangat. Tak apa kita lawan dekat mahkamah,” kata Puteri Sarah.