Big Stage 2023: Konsep Pakaian Tak Kena Dengan Lagu Keagamaan, Nadeera Zaini Mohon Maaf
Ramai yang mempersoalkan pemilihan baju Nadeera selain selendang yang digunakannya tidak 100% menutupi rambut walhal lagu Rahmatun Lil’ Alameen tersebut banyak menyebut nama Rasulullah SAW.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Penyanyi, Nadeera Zaini yang juga peserta Big Stage 2023 memohon maaf kepada orang ramai ekoran dari konsep pakaian yang digunakannya semasa menyanyikan lagu Rahmatun Lil’ Alameen yang disifatkan kurang sesuai oleh banyak pihak.
Ini memandangkan lagu asal milik penyanyi antarabangsa, Maher Zain itu berkonsepkan mesej rasa cinta dan kasih sayang terhadap Nabi Muhammad SAW.
Nadeera menerusi satu hantaran di Instagram berkata, dia menerima segala kritikan dengan hati terbuka berhubung penampilannya sewaktu menyanyikan lagu berkenaan pada Konsert Big Stage Minggu Ke-3.
“Terima kasih kepada pasukan produksi, pemuzik, penggubah lagu, pasukan penata gaya dan pihak pengurusan yang memberikan Nad kerjasama yang baik. Namun, ada yang memberi komen pakaian yang Nad gayakan kurang sesuai dengan persembahan malam ini (21 Mei). Nad menyusun 10 jari memohon maaf atas kekhilafan yang terjadi. Nad terima segala komen serta saranan dengan hati yang terbuka dan berlapang dada. Nad akan memperbaiki kesilapan & terus berusaha memberikan yang terbaik, Insya-Allah.”
Nadeera Zaini
Tambah Nad lagi, dia sebelum ini keliru dan terpaksa bertungkus lumus bersama kumpulannya untuk mencari konsep yang sesuai bagi menjayakan persembahan minggu ketiga itu.
“Pada awalnya Nad keliru memikirkan konsep yang sesuai untuk lagu Rahmatun Lil’ Alameen, baik dari susunan lagu, pakaian serta konsep persembahan.
“Susunan lagu asal nyanyian Maher Zain kurang sesuai dengan pertandingan, jadi Nad bersama team management harus menyusun semula agar ia kena dengan ‘mood’ pertandingan dan sesuai dengan nada suara Nad.
“Selepas berhempas pulas, akhirnya muncul dengan konsep akhir yang Nad tampilkan sebentar tadi (malam tadi),” tulisnya.
Terdahulu netizen memenuhi ruangan TikTok Astro Gempak yang berkongsikan persembahan Nad pada Konsert Minggu ke-3 Big Stage 2023.
Ramai yang mempersoalkan pemilihan baju Nad yang terbelah di bahagian belakang selain selendang yang digunakannya tidak 100% menutupi rambut walhal lagu tersebut banyak menyebut nama Rasulullah SAW.