Permintaan Terlalu Tinggi, Ada Kemungkinan Konsert Coldplay Di Kuala Lumpur Ditambah Satu Hari Lagi
Sebelum ini Coldplay telah menambah konsert hari kedua di Kaohsiung, Taiwan pada 12 Nov ekoran dari permintaan yang begitu tinggi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seperti yang kita sedia maklum, buat julung kalinya kumpulan rock alternatif, Coldplay bakal mengadakan konsert sulung di Malaysia pada 22 November 2023 bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Konsert yang bakal diadakan di Kuala Lumpur ini adalah merupakan salah satu destinasi siri jelajah Coldplay Music of The Spheres World Tour.
Tiket Habis Dijual Dalam Tempoh Tiga Jam
Namun menepati jangkaan ramai, tiket konsert tersebut yang mula dijual pada 16 Mei 2023 bagi pemegang kad CIMB dan 17 Mei 2023 kepada orang awam telah habis dijual hanya dalam tempoh tiga jam sahaja.
Rata-rata peminat kecewa kerana tidak dapat membeli tiket konsert hingga ada yang melancarkan petisyen meminta agar penganjur menambah satu hari lagi untuk konsert berkenaan.
Konsert Kemungkinan Tambah Satu Hari
Susulan permintaan yang tinggi, penganjur Live Nation Malaysia tidak menolak kemungkinan konsert Coldplay Music of The Spheres akan ditambah satu hari lagi.
Menurut Pengarah Urusannya, Para Rajagopal, pelbagai aspek perlu diteliti sebelum merealisasikan impian peminat Coldplay.
“Segalanya ada kemungkinan. Perbincangan masih berjalan mengenai banyak perkara. Kami tak boleh cakap apa-apa lagi,” katanya dipetik dari Berita Harian.
Beliau berkata demikian susulan terdapat petisyen dalam talian untuk konsert hari kedua setelah kumpulan yang dianggotai oleh Chris Martin, Will Champion, Jonny Buckland dan Guy Berryman ini mengumumkan bakal mengadakan konsert hari kedua di Koahsiung, Taiwan.
Tiada Kawalan Pembelian Tiket
Menurut Para, lebih 700,000 peminat berusaha membeli tiket konsert berkenaan namun tiket tersebut habis terjual dalam tempoh tiga jam
“Sangat berbeza dengan pembelian tiket penerbangan atau tempahan hotel. Tekanan menimpa keseluruhan infrastruktur digital cukup berlainan,” katanya.
“Secara total, saya rasa kami tiada kawalan terhadap siapa berjaya dapat tiket dan pada jam berapa. Kami buka kepada sesiapa saja untuk masuk dalam sistem, tapi semestinya ada had tiket dijual,” tambahnya lagi.
Beliau juga menyarankan agar peminat menunggu pengumuman terkini yang akan dibuat melalui saluran-saluran penganjur.
Baca Artikel Berkaitan: Akui Terpaksa Bersaing Beli Tiket Coldplay, KJ Berpendapat Malaysia Perlu Alu-Alukan Artis Antarabangsa
Baca Artikel Berkaitan: “Sesiapa Tidak Suka Kehadiran Kami, Kami Minta Maaf” – Chris Martin, Vokalis Coldplay [Video]