fbpx

Tuan Rumah Ajak Bincang Tapi Penyanyi Keluar Bawa Parang

Menurut tuan rumah yang dikenali sebagai Liza Mohamad, penyanyi itu sudah tiga bulan tidak membayar sewa rumah iaitu RM900 sebulan dan mempunyai tunggakan bil elektrik hampir RM7,000.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, peminat dunia hiburan hangat memperkatakan mengenai kisah seorang penyanyi lelaki popular era 90 – an yang tidak membayar sewa rumah sejak Jun 2023 serta mempunyai tunggakan bil elektrik yang mencecah RM6,770.

Menurut laporan media, seorang wanita yang merupakan tuan rumah berkenaan telah mengeluarkan notis mengosongkan rumah dan notis itu telah diterima oleh isteri berkenaan.

Namun, penyanyi itu dan keluarganya tetap terus tinggal disitu dan mengendahkan notis tersebut.

Niat Nak Bincang Tapi Penyanyi Keluar Bawa Parang

Menurut tuan rumah yang dikenali sebagai Liza Mohamad, dia menyifatkan penyanyi lelaki itu sebagai seorang yang sukar untuk berbincang.

“Dia seorang yang tidak boleh dibawa berbincang. Dia keluar dengan parang sewaktu saya datang ke rumah itu untuk berbincang,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Tambah Liza, penyanyi itu sudah tiga bulan tidak membayar sewa rumah RM900 sebulan sejak Jun hingga September 2023.

Malah, rumah sewa tersebut turut mempunyai tunggakan bil elektrik yang mencecah hampir RM7,000.

Tuan Rumah Sudah Buat Empat Laporan Polis

Risau dengan keselamatan dirinya, Liza juga telah membuat empat laporan polis.

“Saya sudah membuat empat laporan polis terhadapnya, tapi masalah masih lagi tidak dapat diselesaikan,” kata Liza lagi.

Sewa Sejak Oktober 2020, Kontrak Sewa Telah Tamat September Lalu

Penyanyi itu dikatakan mula menyewa rumah milik Liza sejak Oktober 2020 selepas kisahnya tular dan mendapat bantuan daripada Pusat Pengutan Zakat (PPZ) melalui ejen yang membantu penyanyi tersebut mencari kediaman untuk disewa.

“Saya pula kebetulan memang nak sewakan rumah berkenaan pada masa itu dan bersetuju dengan kontrak sewa di antara kami yang tamat sepenuhnya pada September lalu. Tapi, malangnya sehingga kini walaupun kontrak sewa sudah tamat, namun dia masih tidak mahu keluar dari rumah saya.

“Saya ada datang ke rumah itu pada 18 September lalu untuk berbincang dengannya dan memohon dia sekeluarga keluar kerana saya nak menetap semula di rumah berkenaan yang juga aset peninggalan Allahyarham suami saya yang meninggal dunia pada 27 September 2019,” katanya.

Tuan Rumah Turut Hadapi Masalah Kewangan, Mohon Bantuan Pihak Tertentu

Tambah Liza lagi, ekoran daripada isu ini, dia mengalami masalah kewangan yang menyebabkan dia perlu mendapatkan semula rumah tersebut untuk didiami.

“Dia ada kata dengan saya yang sedia keluar dari rumah itu sekiranya ada kediaman lain untuknya. Selama ini pun dari Oktober 2020 sehingga September 2021, PPZ yang bayarkan sewa rumah itu. Kemudian dari Oktober 2021 hingga September tahun lalu, Baitulmal pula yang bayarkan sewa,” ujarnya.

Liza berharap pihak berkaitan seperti PPZ dan Baitulmal membantu dirinya menyelesaikan isu ini dengan mencari kediaman lain untuk penyanyi itu.

“Saya harap sangat pihak tertentu seperti PPZ dan Baitulmal tampil membantu saya dan carikanlah rumah lain untuk dia.

“Bil elektrik pula tidak pernah dibayar sejak dia duduk di rumah itu sehingga sekarang tunggakan sudah mencecah hampir RM7,000. Oleh itu, saya harap sangat ada pihak dapat membantu sebab saya nak dia keluar dari rumah itu. Saya nak ambil khidmat guaman, tidak berkemampuan kerana bukan orang senang,” ujarnya lagi.

Liza yang merupakan ibu kepada tiga orang anak ini mahu menyelesaikan isu ini di luar mahkamah namun mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita yang juga pemilik rumah telah membuat laporan polis apabila seorang penyanyi tidak membayar sewa rumahnya.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah kemudiannya mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berkenaan.

Baca Artikel Berkaitan: Tuan Rumah Buat Laporan Polis, Dakwa Penyanyi Terkenal Tak Bayar Sewa Rumah & Bil Elektrik Cecah RM6,770

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.