fbpx
Now Reading
Benarkah Myanmar Import Senjata Dari Israel?

Benarkah Myanmar Import Senjata Dari Israel?

Hubungan dua hala antara Myanmar dan Israel sebenarnya telah bermula sejak 1953.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Isu membabitkan etnik Rohingya merupakan isu yang hangat diperkatakan sejak dahulu lagi.

Ada segelintir yang menyokong perjuangan mereka yang sudah lama ditindas penduduk majoriti Myanmar dan ada juga yang tidak memihak kepada etnik ini disebabkan beberapa faktor.

Malah isu ini sekali lagi hangat apabila media Indonesia melaporkan terdapat pelarian Rohingya yang dihalang dari memasuki kota Acheh. Tidak kurang juga video memaparkan insiden sekumpulan mahasiswa yang menyerbu tempat perlindungan sementara untuk pelarian Rohingya.

Terbaharu, seorang pengguna laman X (@climateaidil) membuat hantaran bahawa dia mendapati Israel memainkan peranan yang besar dalam pembunuhan beramai-ramai ke atas etnik Rohingya.

Antara dakwaannya adalah Israel membekalkan senjata kepada Myanmar. Persoalannya, sejauh manakah kebenaran perkara tersebut?

Secara asasnya, Israel dan Myanmar telah mewujudkan hubungan dua hala sejak 1953, lima tahun setelah kedua-duanya diberikan kemerdekaan oleh British.

Jadi tidak mustahil jika wujudnya hubungan perdagangan, termasuk eksport-import senjata, antara mereka. 

Israel Umum Hentikan Pembekalan Senjata Kepada Myanmar

Namun pada 2016, pasukan tentera Myanmar telah melakukan kempen menentang pemberontakan yang mengakibatkan lebih 700,000 individu Rohingya melarikan diri ke Bangladesh. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggelarkan situasi ini sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Sehubungan dengan itu, satu sekatan antarabangsa telah dijalankan bagi menghentikan sebarang pembekalan senjata di negara itu. Sekatan tersebut turut disertai oleh Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Pada tahun 2017, Mahkamah Agung Israel menyokong permohonan yang meminta supaya pelaksanaan perjanjian kerjasama pertahanan antara Israel dan Myanmar dihentikan, sehingga lesen eksport tentera dibatalkan.

Kerajaan haram Zionis pada 2018 malah telah mengumumkan pembatalan mengenai eksport senjata kepada Myanmar setelah menerima tekanan daripada aktivis hak asasi manusia.

Usaha antarabangsa untuk menyekat pembekalan senjata kepada Myanmar meningkat setelah rampasan kuasa tentera pada tahun 2021.

Israel Masih Bekal Senjata Kepada Myanmar Hingga 2022

Pun begitu, satu laporan oleh Haaretz menyatakan bahawa kerajaan haram Israel sebenarnya telah meneruskan pembekalan sistem senjata canggih kepada Myanmar sekurang-kurangnya sehingga awal 2022. 

Menurut Haaretz, syarikat milik kerajaan Israel Aerospace Industries dan pembuat senjata Elbit Systems telah meneruskan perdagangan dengan Myanmar, bertentangan dengan embargo antarabangsa serta keputusan Mahkamah Agung Israel pada 2017.

Malah ia tidak selari dengan kenyataan kerajaan Israel pada 2018 bahawa ia telah menghentikan eksport tersebut.

Berdasarkan maklumat yang diterima daripada kumpulan hak asasi manusia dan pegawai Myanmar sehingga 6 September 2017, antara senjata yang dibekalkan kepada kerajaan junta itu termasuk lebih 100 kereta kebal, senjata dan kapal yang digunakan untuk mengawal sempadan negara.

Berikut merupakan salah-satu rekod penghantaran bagi bahagian pesawat dari Israel Aerospace kepada Myanmar pada Mac 2022.

Foto: Frontier

Pasukan Khas Tentera Myanmar Mendapat Latihan Dari Israel

Namun, hubungan dua hala di antara Myanmar dan Israel bukan setakat itu sahaja. Sebaliknya, syarikat ketenteraan Israel, TAR Ideal Concepts, turut melatih pasukan khas Myanmar di Rakhine, yakni kawasan pendudukan etnik Rohingya sebelum ini.

Seorang aktivis hak asasi Israel, Ofer Neiman, berkata hubungan kerajaan haram itu dengan Myanmar bersangkut-paut dengan pendudukannya di wilayah Palestin di Tebing Barat.

“Kerajaan Israel bertahun-tahun telah menjual senjata kepada diktator tentera di Myanmar,” tambah Neiman.

Dia berpendapat polisi tersebut berkait rapat dengan penindasan dan perampasan terhadap rakyat Palestin oleh Israel. Katanya lagi, senjata yang digunakan terhadap rakyat Palestin dijual dengan label ‘telah diuji di lapangan’ kepada beberapa regim terburuk di dunia.

“Israel Bantu Myanmar Hapus Etnik Minoriti” – Peguam Israel

Lantaran dengan itu, peguam Israel, Eitay Mack, berkata rejim itu telah berbohong apabila mendakwa ia menghentikan sebarang eksport tentera kepada Myanmar. 

Katanya, eksport tentera Israel masih diteruskan tetapi menerusi kaedah yang lebih ‘sofistikated’.

Walaupun permohonan kepada Mahkamah Agung dilakukan atas kerisauan senjata yang dibekalkan akan digunakan dalam pembunuhan Rohingya, laporan mendapati terdapat bahagian senjata dihantar setelah rampasan kuasa oleh tentera. 

“Selagi mana tentera junta berkhidmat untuk kepentingan Israel, tiada masalah untuk kerajaan itu membantunya dalam menghapuskan etnik minoriti dan sebahagian besar penduduk Myanmar yang menentang rampasan kuasa dan inginkan kerajaan demokrasi,” kata Mack kepada Middle East Eye.

Myanmar Bukan Hanya Import Senjata Dari Israel

Sebenarnya, bukan Israel sahaja yang membekalkan senjata kepada Myanmar walaupun sekatan antarabangsa dijalankan. Laporan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2019 telah mengenal pasti beberapa negara, selain kerajaan haram Israel, yang mengeksport senjata kepada tentera Myanmar, termasuk Rusia, China, Korea Utara, dan Ukraine.

Pada Mei 2023, satu laporan menyatakan bahawa kerajaan junta itu telah mengimport senjata berjumlah sekitar RM4.64 bilion sejak melakukan rampasan kuasa pada Februari 2021 sehingga Disember 2022. Sekitar RM4 bilion daripada jumlah itu dihantar terus kepada beberapa entiti di bawah tentera Myanmar seperti Direktorat Perolehan dan Direktorat Industri Pertahanan.

Menurut laporan tersebut, Myanmar menerima majoriti import senjata daripada Rusia sejumlah RM1.88 bilion, China RM1.18 bilion dan Singapura RM1.18 bilion. Junta tentera itu turut menerima senjata daripada India (RM236 juta) dan Thailand (RM130 juta).

Antara pengeksport yang dapat dikenal pasti adalah entiti milik kerajaan di Rusia, China dan India, serta entiti yang berpengkalan di Singapura.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.