fbpx
Now Reading
Betul Ke Ada Larangan Berpuasa Setelah Pertengahan Bulan Sya’ban?

Betul Ke Ada Larangan Berpuasa Setelah Pertengahan Bulan Sya’ban?

Berdasarkan kepada beberapa hadis, Sya’ban merupakan bulan di mana Rasulullah SAW paling banyak melakukan ibadah berpuasa selain daripada bulan Ramadan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Tinggal kurang dari sebulan lagi umat Islam akan menyambut kedatangan bulan suci Ramadan dan menjalankan ibadah berpuasa wajib.

Sebagai persediaan, ada yang sudah mula berpuasa sunat dan ada juga sesetengah yang sedang mengganti puasa yang tidak sengaja ditinggalkan pada puasa lepas.

Dalam menunggu bulan Ramadan tiba, tahukah anda bahawa bulan ini, yakni Sya’ban merupakan salah satu bulan yang digalakkan memperbanyakkan ibadah puasa sunat?

Sunat Berpuasa Pada Bulan Sya’ban

Bulan Sya’ban dipenuhi dengan beberapa kelebihan seperti amalan kita diangkat kepada Allah SWT. Perkara ini adalah berdasarkan kepada satu hadis Usaham bin Zaid bertanya kepada Rasulullah SAW:

“Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat tuan banyak berpuasa dalam sebulan seperti tuan berpuasa di dalam bulan Sya’ban.”

Dijawab oleh Nabi SAW: “Bulan Sya’ban itulah satu bulan yang sering diambil lewa oleh kebanyakan manusia yang diapit oleh bulan Rejab dan Ramadhan. Dia juga adalah bulan yang diangkat di dalamnya segala amalan ke hadrat Tuhan sekelian alam. Maka aku sangat suka jika diangkat amalan ku di dalam keadaan aku sedang berpuasa.”

Musnad Ahmad dan Sunan al Nasa’i

Beberapa riwayat lain turut menyebut bahawa Rasululllah SAW sering berpuasa di bulan Sya’ban.

Dalam riwayat Abu Daud juga dikatakan, “Sesungguhnya Nabi SAW tidak pernah berpuasa sebulan penuh dalam setahun kecuali pada bulan Sya’ban dilanjutkan ke Ramadhan.”

Riwayat Abu Daud, 2048

Rasulullah SAW Berpuasa Penuh Di Bulan Sya’ban?

Hadis di atas menerangkan bahawa Rasulullah SAW biasa berpuasa bulan Sya’ban penuh, namun terdapat juga hadis lain yang menjelaskan terdapat beberapa hari dalam bulan ini ketika mana Baginda tidak berpuasa.

Dari Abu Salamah katanya, saya bertanya kepada Aisyah RA tentang puasa Nabi SAW. Dia menjawab:

“Beliau biasa berpuasa sehingga kami mengatakan sungguh telah berpuasa (terus). Dan beliau berbuka sehingga kami mengatakan sungguh beliau telah berbuka. Dan aku tidak melihat beliau berpuasa yang lebih banyak dibandingkan pada bulan Sya’ban. Biasanya beliau berpuasa pada bulan Sya’ban semuanya, dan biasanya beliau berpuasa pada bulan sya’ban kecuali sedikit.”

Riwayat Muslim, 1156

Berdasarkan kepada hadis-hadis ini, sebahagian ulama berpendapat bahawa Rasulullah SAW berpuasa Sya’ban secara penuh pada sebahagian tahun, namun kadang-kala Baginda ada juga tidak berpuasa penuh pada bulan Sya’ban.

Terdapat juga ulama yang berpendapat bahawa Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan.

Allah SWT Ampuni Umatnya Di Malam Nisfu Sya’ban

Bulan Sya’ban yang sudah penuh dengan keistimewaan menjadi lebih luar biasa dengan wujudnya malam Nisfu Sya’ban. Malam ini dikhaskan untuk umat Islam mendapat tawaran pengampunan daripada Allah SWT.

Segala amalan umat Islam akan diangkat pada malam Nisfu Sya’ban. (Kredit: Unsplash)

Jatuh pada hari ke-15 bulan Sya’ban, ia juga dikenali sebagai malam ke separuh bulan Sya’ban dan Allah SWT mengampuni semua makhluknya kecuali individu yang mensyirikkanNya serta bersengketa dan bertelagah.

Daripada Mu’az bin Jabal RA, daripada Rasulullah SAW bersabda: “Allah menjenguk hamba-hambanya pada malam nisfu Sya’ban dan mengampuni semua makhluknya kecuali orang yang mensyirikkan Allah dan orang yang masih bersengketa dan bertelagah.”

Riwayat Ibnu Hibban dan al Tobroni

Larangan Berpuasa Setelah Pertengahan Sya’ban

Walaupun umat Islam digalakkan berpuasa pada bulan Sya’ban, namun terdapat juga larangan mengenai puasa pada bulan ini. Menurut Jabatan Mufti Negeri Terengganu, terdapat hadis yang melarang berpuasa setelah pertengahan Sya’ban.

“Apabila telah masuk pertengahan Sya’ban, maka janganlah engkau berpuasa.” 

Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi

Dalam masa yang sama, ahli hadis mempunyai pendapat berbeza mengenai status ini. Imam Ahmad menilainya sebagai hadis munkar yang dinafikan datangnya dari Nabi SAW, namun ulama seperti Imam al-Tarmizi mensahihkannya.

Menurut pendapat dalam mazhab Syafie, berpuasa sunat setelah pertengahan Sya’ban, iaitu bermula pada hari ke-16, adalah tidak harus hukumnya. Oleh itu Pejabat Mufti Negeri Terengganu menyimpulkan bahawa berpuasa selepas Nisfu Sya’ban adalah haram dan tidak sah.

Namun begitu larangan ini tidaklah mutlak kerana terdapat pengecualian bagi “puasa qada, puasa kaffarah, puasa nazar, puasa yang sudah menjadi adat atau kebiasaan pelakunya dan puasa sunat yang disambungkan atau dihubungkan dengan hari-hari di separuh pertama bulan Sya’ban.”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.