fbpx
Now Reading
Individu Tak Boleh Divaksin Boleh Mohon Sijil Khas – KJ

Individu Tak Boleh Divaksin Boleh Mohon Sijil Khas – KJ

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui ada dikalangan individu di negara kita yang tidak boleh divaksin atas faktor perubatan dan alahan.

Meskipun bersebab, mereka tidak dapat menikmati pengecualian yang diberikan kerajaan terhadap golongan yang sudah lengkap vaksin antaranya makan di restoran, berkelah dan macam-macam lagi disebabkan ketiadaan sijil vaksin.

Terbaru, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) memaklumkan individu-individu berkenaan layak memohon sijil digital khas atau sijil pengecualian vaksinasi di MySejahtera.

Menurut KJ  sijil tersebut boleh dimohon melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdekatan dengan mengemukakan borang khas iaitu ‘Slip Penilaian Kesesuaian Menerima Vaksin COVID-19 bagi Pesakit dengan Masalah Kesihatan Tertentu’ yang telah disahkan oleh pakar perubatan.

Pakar perubatan yang maksudkan ialah :

1. pakar perubatan hospital swasta yang merawat individu terbabit,
2. pakar perubatan atau pegawai perubatan merawat (semasa ketiadaan pakar perubatan) di hospital kerajaan yang pakar atau
3. Pakar Perubatan Keluarga di klinik kerajaan.

“Pakar perubatan akan menasihatkan pengambilan vaksin dari jenis lain yang bersesuaian. Sebagai contoh, jika seseorang didapati menghidapi alahan kepada vaksin jenis Pfizer, vaksin jenis lain seperti Sinovac boleh diberikan.

“Jika individu ini disahkan tidak boleh mengambil sebarang jenis vaksin COVID-19 atas sebab perubatan, dia perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan lebih ketat secara kendiri seperti memakai pelitup muka, memastikan penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan dan lain-lain.

Foto : FMT

“Ini disebabkan individu terbabit lebih berisiko untuk mendapat jangkitan COVID19,” katanya  dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini selepas diajukan soalan mengenainya oleh Isnarissah Munirah Majilis (WARISAN-Kota Belud).

Sijil akan diperolehi dalam tempoh seminggu

Tambah beliau lagi jika segalanya lengkap dan mengikut syarat sijil berkenaan akan dikeluarkan menerusi MySejahtera dalam tempoh seminggu.

“Jika permohonan adalah lengkap dan mengikuti syarat yang telah ditetapkan, sijil digital melalui MySejahtera akan diperolehi dalam tempoh satu minggu,” katanya.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.