fbpx
Now Reading
Berniaga Sarung Kaki Tanpa Kebenaran, Penjawat Awam Didenda RM8,000

Berniaga Sarung Kaki Tanpa Kebenaran, Penjawat Awam Didenda RM8,000

Dia didakwa telah menjalankan perniagaan membekal dan menghantar sarung kaki bernilai RM44,500 kepada kakitangan hospital tempatnya bertugas.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Gara-gara menjalankan perniagaan tanpa kebenaran ketika masih berkhidmat, seorang penjawat awam telah dijatuhi hukuman denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hakim Azura Alwi menjatuhi hukuman denda itu terhadap Suzana Murni selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang disabitkan ke atasnya.

Beliau turut memerintahkan wanita itu untuk dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda. Namun dia kemudian menjelaskan denda berkenaan.

Didakwa bekal dan hantar sarung kaki bernilai RM44.5k kepada staf hospital

Mengikut kertas pertuduhan, Suzana sebagai pemilik Syarikat Fana Global Resources didakwa telah menjalankan perniagaan iaitu membekal dan menghantar sarung kaki bernilai RM44,500 kepada staf hospital tempatnya bertugas.

Namun statusnya sebagai Pembantu Tadbir Gred N22 di Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu di hospital itu adalah terikat di sisi undang undang di mana dia tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam apa-apa perniagaan.

Ia diperuntukkan di bawah Peraturan 4(1), Jadual Kedua, Bahagian II Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000.

Menurut Utusan, kesalahan itu dilakukan di Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu, di sebuah hospital kerajaan di ibu kota pada Disember 2016.

Sehubungan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 168 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Kamu lama dalam perkhidmatan ini (dalam kerajaan), dan saya lihat rekod pun cemerlang, namun akibat kesalahan yang dilakukan, kamu terpaksa menanggungnya dan menjejaskan pekerjaan kamu,” kata hakim sewaktu menjatuhkan hukuman.

Sewaktu prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar dia dikenakan hukuman ringan kerana masih menanggung dua anaknya yang sedang melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Namun Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noryusriza Zulkifli dan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd. Aliff Shaharuzaman yang mengendalikan pertuduhan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal demi kepentingan awam.

“Memandangkan dia merupakan pesalah pertama dan mengaku salah selepas pertuduhan dibaca, maka pihak kami berpendapat hukuman denda adalah memadai,”

Timbalan Pendakwa Raya, Noryusriza Zulkifli


© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.