fbpx
Now Reading
Selangor Batal & Tarik Kembali Tauliah Mengajar Agama Islam Untuk Aktivis Politik

Selangor Batal & Tarik Kembali Tauliah Mengajar Agama Islam Untuk Aktivis Politik

Difahamkan ianya selaras dengan titah Sultan Selangor yang tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik dikhuatiri disalahgunakan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini memaklumkan semua tauliah mengajar yang sebelum ini diberikan kepada aktivis organisasi politik di Selangor akan terbatal dan ditarik balik berkuat kuasa 31 Disember 2021.

Selain itu MAIS juga tidak lagi mengeluarkan sebarang tauliah untuk membenarkan mereka mengajar di masa hadapan.

Menurut Pengerusi MAIS Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, ianya selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik kerana dikhuatiri ianya boleh disalahgunakan.

Foto : Selangor Royal Office

“Bagi menjaga kesucian Islam di Selangor, Sultan Selangor tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik kerana dikhuatiri ia boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam di Selangor serta mencemarkan agama.

“Sultan Selangor turut menitahkan agar tauliah mengajar agama Islam di negeri ini yang telah diberikan kepada mana-mana aktivis politik ditarik balik berkuat kuasa 31 Disember 2021,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook pada pagi Selasa.

Tambah MAIS lagi, mana-mana individu yang mengajar agama islam tanpa tauliah adalah melakukan kesalahan dibawah di bawah Seksyen 119 Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003. dan boleh berdepan hukuman.

“Adalah diingatkan mengajar agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen yang sama, di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda tiga ribu ringgit atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina kuasa yang sah, atau mengingkari atau mempertikaikan titah DYMM Sultan Selangor atas sifat Baginda sebagai Ketua Agama Islam berhubung dengan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam bagi mana-mana aktivis politik juga adalah merupakan suatu kesalahan di bawah perenggan 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995) yang jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.”

Pada Ogos lalu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari sewaktu di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) memaklumkan  ahli Dewan Diraja Selangor bersetuju untuk tidak lagi memberikan tauliah mengajar agama Islam kepada aktivis politik di semua masjid dan surau di negeri itu.

Jelasnya, perkara itu diperkenankan Ahli Dewan Diraja menerusi Mesyuarat Dewan Diraja Selangor pada Mac 2019.


© 2021 BuzzKini. All Rights Reserved.