fbpx
Now Reading
Dipercayai Jual 1,900 Sijil Vaksin Palsu, Doktor Di Marang Dicekup Polis

Dipercayai Jual 1,900 Sijil Vaksin Palsu, Doktor Di Marang Dicekup Polis

Difahamkan doktor ini mengenakan caj antara RM400 hingga RM600 untuk setiap sijil yang dikeluarkan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Di saat negara sedang berdepan varian baharu, seorang doktor swasta di Marang, Terengganu menjadi perbualan hangat selepas dia ditahan pihak polis kerana dipercayai menjual sijil vaksinasi Covid-19 palsu.

Difahamkan polis yang mendapat maklumat mengenai tindakan tidak beretika pengamal perubatan berusia 51 tahun ini kemudian telah melakukan serbuan di klinik beliau sebelum menahannya dan merampas hampir 100 kad peringatan imunisasi (janji temu).

Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa, suspek dipercayai mula melakukan perbuatan itu sejak September lalu selepas kliniknya diberikan kebenaran mengendalikan suntikan vaksinasi secara berbayar.

Sepanjang tempoh itu, premisnya telah mengeluarkan lebih 1,900 sijil vaksinasi dipercayai palsu yang bernilai hampir RM1 juta kepada pelanggan dalam talian dari Terengganu dan negeri lain dengan kadar bayaran antara RM400 hingga RM600 seorang.

Menerusi laporan Berita Harian, siasatan akan dijalankan pihak polis dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Setakat ini, ada kira-kira 1,900 individu dipercayai mendapatkan sijil itu dan kita sedang menyiasat sama ada kesemuanya tulen atau sebaliknya.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas dokumen berkaitan, kad janji temu vaksinasi, komputer riba, telefon dan lain-lain.

“Siasatan akan dijalankan bersama KKM untuk menilai dan membuat pemeriksaan terhadap aplikasi MySejahtera individu terbabit,” katanya.

Jelas Rohaimi, pihaknya memandang serius isu ini kerana ia bukan sahaja membabitkan kes penipuan atau pemalsuan sijil semata-mata sebaliknya ia juga boleh membawa bencana atau musibah kesihatan kepada masyarakat umum.

Tambah beliau lagi, sebahagian besar pelanggan dipercayai merupakan golongan yang menolak pengambilan vaksin, tetapi memerlukan sijil vaksinasi atas keperluan pergerakan merentas negeri dan sebagainya.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.