fbpx
Now Reading
Pembalakan Tak Jejaskan Populasi Harimau, Kata Jabatan Perhutanan Kelantan

Pembalakan Tak Jejaskan Populasi Harimau, Kata Jabatan Perhutanan Kelantan

Tambahnya, aktiviti pembalakan sebaliknya baik untuk pertambahan populasi harimau berpandukan kepada kajian yang dibuat oleh seorang pakar dari Sarawak.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) mendakwa aktiviti pembalakan yang dijalankan di negeri itu tidak menjejaskan populasi harimau.

Menurut Pengarah JPNK Abdul Khalim Abu Samah, ia sebaliknya baik untuk pertambahan populasi berpandukan kepada kajian yang dibuat oleh seorang pakar dari Sarawak.

Jelas beliau, ini kerana kesan pembalakan akan menyebabkan tumbuhnya tumbuhan baru yang menggalakkan kehadiran spesis haiwan yang menjadi makanan kepada harimau seperti kancil, lapor Malaysiakini.

Foto : Malaymail

“Berdasarkan fakta kajian oleh pakar, kawasan-kawasan selepas pembalakan sebenarnya bagus untuk populasi harimau.

“Populasi harimau akan lebih tinggi, apabila berlaku pembalakan kawasan itu akan ditumbuhi anak pokok. Jadi kawasan itu akan dihadiri haiwan seperti kancil yang menjadi makanan harimau. Ia akan memudahkan harimau memburu mangsanya.

Foto : Malaymail

“Tetapi dalam hutan simpan, susah untuk harimau tangkap (mangsa),” katanya selepas diminta mengulas dakwaan penampakan beberapa ekor harimau di perkampungan orang asli ekoran dari aktiviti pembalakan yang berleluasa.

Tambah Abdul Khalim, pihaknya sentiasa mematuhi catuan tebangan tahunan (CTT) dalam membabitkan hal pembalakan. Bahkan aktiviti pembalakan ini hanya berlaku di kawasan hutan simpan pengeluaran.

“Kita di Kelantan sentiasa patuh mematuhi CTT yang ditentukan oleh Majlis Tanah Negara (MTN). Kita tidak melebihi catuan tebangan yang dibenarkan membabitkan keluasan 3,900 hektar setahun seperti dilaporkan dalam Rancangan Malaysia ke-12.

“Malah, pembalakan hanya dilakukan di hutan simpan pengeluaran, bukannya hutan simpan perlindungan,” kata Abdul Khalim.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.