
Dicekik & Dihempas, Budak Darjah 3 Cedera Dipukul Bapa Rakan Sekelas
Mangsa dilaporkan mengalami cedera ringan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Gara-gara berang anak ditampar, seorang lelaki nekad mengasari seorang murid darjah 3 di Kuala Terengganu, pada Ahad (24 April).
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisoner Abdul Rahim Md Din memaklumkan, insiden yang berlaku pada jam 1 petang itu disyaki berpunca daripada salah faham antara anak lelaki berkenaan dengan rakan sekelasnya.
Mulanya main bersama sebelum jadi perselisihan faham
“Sebelum kejadian, mangsa telah bermain sebelum bergaduh dengan rakan sekelasnya (anak pelaku) di luar pagar sekolah. Mangsa dikatakan telah menampar rakan sekelasnya itu.
“Apabila bapa rakannya datang, rakan mangsa telah mengadu (yang dia ditampar) oleh mangsa.
“Lelaki berkenaan kemudian dipercayai bertindak mencekik dan mengangkat mangsa sebelum menghempas ke bawah menyebabkan kepala mangsa mengalami luka kecil dipercayai terkena batu,” jelas Abdul Rahim dipetik dari Sinar Harian.
Pihak sekolah hubungi bapa mangsa

Tambah beliau, pihak sekolah telah menghubungi bapa mangsa bagi memaklumkan insiden tersebut dan bapanya telah mengambil anaknya di sekolah dan membuat laporan polis.
“Mangsa telah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.
Menurutnya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan.
Terdahulu, tular di media sosial berkenaan insiden yang dipercayai dikongsikan oleh salah seorang ahli keluarga mangsa. Ia turut tular di laman Twitter selepas dikongsikan oleh akaun Malaysia Most Virall.
Bulan puasa ni bukan sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga shj.
— MALAYSIA MOST VIRALL (@MALAYSIAVIRALL) April 25, 2022
Tunjuk lah tauladan yang baik juga.
Ini dia tibai nya anak buah kita. Kalau budak yang gaduh tu boleh kita tegur lagi. Ini BAPAK BUDAK yang pukul anak buah kita🙄. Macam mana nak tunjuk contoh baik dkt anak ? pic.twitter.com/K5twbetZ8y
Kredit gambar: Malaysia Most Virall