fbpx
Now Reading
Tinggalkan Lokasi Kemalangan Maut, Polis Giat Cari Pemandu 4×4 Warga Bangladesh

Tinggalkan Lokasi Kemalangan Maut, Polis Giat Cari Pemandu 4×4 Warga Bangladesh

Pemandu kereta jenis Isuzu itu telah meninggalkan lokasi kemalangan dengan kenderaan terbabit dan masih belum tampil membuat laporan di balai polis.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pihak polis mencari pemandu kenderaan pacuan empat roda (4X4) jenis Isuzu yang terlibat dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat berdekatan Pejabat Pos Gemencheh, Negeri Sembilan, pada 7.30 pagi, semalam (15 Jun).

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah kenderaan 4X4 jenis Isuzu, sebuah Proton Saga, dan motosikal yang ditunggangi seorang wanita.

Penunggang motosikal meninggal dunia

Bagaimanapun, penunggang motosikal itu, Nurhidayah Abd Majid, 30, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Berdasarkan siasatan awal pemandu kenderaan pacuan empat roda dipercayai dipandu oleh lelaki warga Bangladesh dalam perjalanan dari Tampin menghala ke Gemas. Apabila sampai di lampu isyarat berhampiran Pejabat Pos Gemencheh dipercayai telah hilang kawalan dan terlanggar motosikal yang ditunggangi mangsa yang berhenti di lampu isyarat.

“Perlanggaran berkenaan menyebabkan mangsa tercampak dan terkena sebuah kenderaan jenis Proton Saga yang berada di belakang motosikal tersebut. Akibat pelanggaran tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” ujarnya lagi.

Pemandu Isuzu tinggalkan lokasi dan belum buat laporan polis

Menurutnya, pemandu kereta jenis Isuzu itu telah meninggalkan lokasi kemalangan dengan kenderaan terbabit dan masih belum tampil membuat laporan di balai polis.

Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan tersebut, mereka diminta untuk tampil ke Balai Polis Trafik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin atau menghubungi talian 06-4412502 atau 06-4431999 bagi membantu siasatan.

Kredit gambar: orang awam

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.