fbpx
Now Reading
Penunggang Motosikal Sengaja Langgar Kereta Nak Minta Wang Ditahan, Ada 13 Rekod Lampau [Video]

Penunggang Motosikal Sengaja Langgar Kereta Nak Minta Wang Ditahan, Ada 13 Rekod Lampau [Video]

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid, aduan telah diterima daripada orang awam pada Disember tahun lepas.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Akibat sengaja menyebabkan kemalangan jalan raya dengan tujuan menuntut wang ganti rugi, seorang lelaki di Pulau Pinang telah ditahan polis.

Penunggang motosikal tersebut merupakan seorang penganggur berusia 41 tahun dan telah ditahan di Changkat Bukit Gambar I, Gelugor, Georgetown pada Ahad (10 Mac).

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid, setelah semakan lanjut dilakukan, didapati suspek mempunyai 13 rekod lampau.

Suspek Ada Rekod Kes Dadah

Daripada jumlah rekod lampau, lima rekod membabitkan jenayah, manakala lapan adalah berkaitan kes dadah.

Dia memaklumkan bahawa kertas siasatan lengkap telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi tindakan lanjut.

“Susulan itu, kita terima arahan bagi mendakwa suspek di mahkamah pada Khamis ini mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.”

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid

Seksyen tersebut menggariskan hukuman bagi pemerasan iaitu penjara yang boleh sampai 10 tahun, atau dengan denda, atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua hukuman.

Minta Ganti Rugi Hingga RM60 Dengan Alasan Cermin Sisi Patah

Terdahulu, pihak polis telah menerima satu laporan berkenaan seorang lelaki yang menunggang motosikal didakwa sengaja menyebabkan kemalangan jalan raya untuk meminta ganti rugi kewangan daripada pemilik kereta terbabit.

Pada hujung minggu lalu pula, satu video telah tular di laman media sosial yang menunjukkan seorang lelaki dipercayai individu sama sengaja mencetuskan kemalangan dengan melanggar sebuah kereta yang sedang menukar lorong.

Dia kemudiannya mendakwa kejadian itu berpunca daripada pemilik kereta yang dilanggarnya lalu meminta ganti rugi antara RM20 hingga RM60 dengan alasan insiden menyebabkan cermin sisinya patah, lapor Berita Harian.

Menurut satu hantaran di Facebook, motor yang ditunggangnya tidak mempunyai nombor plat di bahagian depan dan menggunakan nombor yang palsu di belakang. Hantaran sama mendakwa sudah terdapat lebih 50 kes oleh lelaki sama sejak tahun lepas.

Menerusi video yang tular, kelihatan cermin sisi motosikal terbabit seperti dilonggarkan sebelum berlakunya kemalangan.

Suspek Kerap Sebabkan Kemalangan Jalan Raya

Lelaki sama didakwa kerap mencetuskan kemalangan jalan raya di sekitar kawasan bandaraya, Jalan Masjid Negeri, Bukit Gambir, Taman Lip Sin dan Taman Tun Sardon di Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid memaklumkan bahawa aduan telah diterima daripada orang awam pada Disember tahun lepas sebelum pihak polis bertindak memburu suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu supaya harta diserahkan. Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara antara satu hingga 10 tahun, dan dengan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.