Kelab Komedi Yang Digantung Sementara Oleh DBKL Rupanya Tiada Lesen Hiburan
Setiap premis yang mahu menjalankan perniagaan ‘restoran dan operasi berbentuk hiburan’ perlulah memiliki dua lesen iaitu lesen restoran serta hiburan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Hujung minggu lalu, rakyat Malaysia digemparkan dengan penularan sebuah video memperlihatkan tindakan seorang wanita Muslim yang membuka tudung dan pakaiannya di khalayak ramai sewaktu mengadakan persembahan komediri solo (stand-up comedy) di sebuah kelab di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Perbuatannya yang disifatkan menghina Islam bukan sahaja menyebabkan dia dan teman lelakinya ditahan dan didakwa di mahkamah pada Rabu 13 Julai, malah operasi premis tersebut turut digantung oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Penggantungan operasi premis tersebut kemudiannya menjadi perdebatan hangat di media sosial di mana majoriti dilihat bersetuju dengan tindakan PBT terlibat dan ada juga segelintir yang kurang menggemarinya.
“Ada lesen restoran dan minuman keras tapi tiada lesen hiburan..”
Terbaharu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias memaklumkan premis berkenaan yang sudah digantung sementara sejak 10 Julai lalu rupanya dikesan tidak mempunyai lesen hiburan selaras dengan Seksyen 17 Akta Hiburan 1992.
Beliau yang ditemui media berkata, pengusaha kelab tersebut hanya diberikan lesen restoran dan minuman keras dan bukan lesen hiburan, lapor Bernama.
Jelas beliau, setiap premis yang mahu menjalankan perniagaan duo seperti restoran dan operasi berbentuk hiburan perlulah memiliki dua lesen iaitu lesen restoran dan hiburan.
Penggantungan operasi kerana salah guna lesen yang dimiliki
Ekoran dari penyalahgunaan tersebut, DBKL membuat keputusan menggantung sementara operasi mereka.
“Pemilik kelab memohon lesen hiburan tetapi tidak diluluskan kerana dalam lesen hiburan terdapat beberapa syarat tertentu dikenakan sebagai contoh laporan bomba, syarat aktiviti hiburan yang hendak diadakan, kita tidak boleh beri persetujuan menyeluruh kepada setiap hiburan.
“Pihak kementerian tidak berkompromi terhadap penyalahgunaan lesen. Premis ini tidak mempunyai lesen hiburan, maka DBKL mengambil tindakan menggantung sementara operasi premis dan restoran ini kerana menyalahgunakan lesen diberikan,” katanya lagi.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pihaknya pula, Jalaluddin memaklumkan kedah berkenaan telah beroperasi tanpa lesen dari 2014 sehingga 2017.
Namun mereka akhirnya berjaya mendapatkan lesen operasi restoran dan minuman keras pada tahun 2018 dan ianya masih lagi sah sehingga ke hari ini.
“DBKL akan terus mempergiat operasi bagi mengekang aktiviti-aktiviti haram dan pelanggaran undang-undang di premis hiburan yang berada dalam Kuala Lumpur dari semasa ke semasa.”
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alia