fbpx
Now Reading
Pemandu Bawah Umur & Tanpa Lesen Boleh Bahayakan Keselamatan Pengguna Jalan Raya Lain

Pemandu Bawah Umur & Tanpa Lesen Boleh Bahayakan Keselamatan Pengguna Jalan Raya Lain

Pada 22 Oktober lalu, berlaku satu kemalangan maut di Kuala Kedah sehingga menyebabkan seorang wanita meninggal dunia selepas motosikalnya bertembung dengan kenderaan dipandu remaja berusia 14 tahun.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Isu kanak-kanak bawah umur dan individu tiada lesen yang memandu kenderaan di jalan raya bukan suatu perkara baharu.

Malah sudah banyak kes dilaporkan dan lebih teruk lagi sehingga ada yang terbabit dalam kemalangan maut gara-gara tidak dapat mengawal kenderaan dipandu dengan sebaiknya.

Perkara ini sama seperti apa yang berlaku dalam insiden kemalangan maut di Kuala Kedah yang berlaku pada 22 Oktober lalu sehingga meragut nyawa seorang wanita berusia 32 tahun yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan mangsa yang menaiki motosikal bersama kakaknya telah dilanggar sebuah kenderaan jenis Proton Satria yang dipandu oleh seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Kenderaan itu dipercayai hilang kawalan dan kemudian terbabas ke pembahagi jalan sebelum masuk ke arah bertentangan lalu bertembung dengan motosikal dinaiki mangsa.

Baca artikel berkaitan: Peniaga Maut Gara-gara Dirempuh Remaja 14 Tahun Pandu Kereta Tanpa Lesen

Pemandu tanpa lesen dan bawah umur ancam keselamatan pengguna jalan raya lain

Terbaharu, pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Malaysia (UKM) Profesor Dr Rozmi Ismail menyifatkan individu yang tidak memiliki lesen memandu terutama bagi remaja bawah umur boleh mengundang bahaya kepada keselamatan pengguna jalan raya lain.

Ini kerana, mereka tidak menjalani proses pembelajaran yang diperlukan sebelum layak mendapatkan lesen.

Terdapat segelintir ibu bapa mengambil mudah isu anak bawah umur bawa kenderaan

Malah apa yang lebih mengecewakan, ujarnya terdapat segelintir penjaga mahupun ibu bapa yang mengambil enteng tentang penggunaan kenderaan oleh anak bawah umur di jalan raya.

“Memang ada, nak kata ramai tak pasti, memang ada ibu bapa sedemikian mereka tak ambil berat isu ini, yang penting anak mereka boleh bawa kenderaan.

“Kalau nak bawa kenderaan depan rumah mungkin, walaupun dia masih salah, tetapi risikonya mungkin sebegitu berat,” ujarnya, dipetik Buletin TV3.

Kata Prof Dr Rozmi lagi, ibu bapa perlu tegas dalam isu ini dengan memberi penekanan dan pengetahuan tentang bahaya jika memandu tanpa lesen kepada anak-anak selain hanya berharap kepada kempen yang diadakan oleh pihak kerajaan.

Beliau turut menegaskan perkara yang dipelajari seseorang individu secara formal di institut memandu serta kemahiran untuk memandu dengan berhemah merupakan suatu hal yang diperlukan agar pemanduan mereka tidak membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Sebagai rekod, ibu bapa atau individu yang membenarkan anak-anak bawah umur memandu atau menunggang kenderaan tanpa lesen boleh didakwa di mahkamah bagi kesalahan tersebut mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kesalahan ini boleh mengakibatkan ibu bapa boleh didenda tidak kurang RM300 dan maksimum RM3,000.

Selain itu, mereka juga boleh dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali sekiranya disabit kesalahan.

Bukan hanya itu, kenderaan dipandu juga boleh disita di bawah Seksyen 64 (1) mengikut akta yang sama.

Baca artikel berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.