fbpx
Now Reading
Tabung Haji Tiada Kaitan Langsung Dengan Isu Kartel & Visa Furada – Menteri Agama
TH tiada kaitan dengan isu kartel dan haji furada

Tabung Haji Tiada Kaitan Langsung Dengan Isu Kartel & Visa Furada – Menteri Agama

Menurut Datuk Idris Ahmad, pihaknya bersedia untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuktikan TH tidak melakukan kesalahan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad menegaskan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak mempunyai kaitan langsung berhubung isu kartel mahupun visa furada.

Jelas beliau, cubaan untuk meletakkan kesalahan di bahu TH adalah tidak wajar memandangkan agensi tersebut sentiasa mengikut ketetapan undang-undang dan menjaga nama baik Malaysia selain sentiasa mengutamakan kebajikan jemaah haji, lapor Bernama.

Pihaknya bersedia untuk disiasat SPRM untuk buktikan TH tak lakukan sebarang kesalahan

Menurut Idris, demi membuktikan TH tidak melakukan apa-apa kesalahan, pihaknya sentiasa bersedia untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada bila-bila waktu sahaja.

“Apabila musim haji tiba, akan ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan. Kita tidak mahu apabila berlaku perkara begini, beban itu ditanggung oleh TH. Pengurusan lesen haji di bawah Pengelola Jemaah Haji (PJH) juga perlukan syarat ketat.

Akan selidik semua syarikat yang nak masuk PJH

“TH akan selidik semua syarikat yang nak masuk PJH. Jadi tak timbul soal kartel, kita bersedia jika SPRM masuk siasat. Kita buka pejabat 25 jam untuk tengok isu kartel ini,” jelasnya kepada pemberita.

Tambah beliau lagi, TH sentiasa memantau perkembangan semua syarikat yang berdaftar di bawah PJH bagi memastikan ianya layak dan mempunyai reputasi dan kewangan yang baik.

Tak nak perkara sama berulang lagi seperti kes 380 bakal jemaah baru-baru ini

Beliau juga mahu memastikan insiden yang menimpa 380 bakal haji yang terkandas baru-baru ini tidak akan berulang lagi – walhal ramai sudah diberi peringatan tentang risiko haji furada.

“Tak sepatutnya kejadian sebegini berlaku sedangkan negara lain memuji negara kita jemaah juga memuji perkhidmatan yang diberi oleh TH. Janganlah ada yang memfitnah dan mereka-reka cerita.

“Mungkin ada sedikit kelemahan TH (dalam operasi) tetapi janganlah cuba meletakkan beban pada TH,” ulas beliau lagi.

Akan adakan pertemuan dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan apabila pulang ke Malaysia

Idris yang ketika ini berada di Mekah memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan apabila pulang ke Malaysia, untuk membincangkan isu haji furada, umrah dan strategi untuk jalankan pengawasan lebih ketat.

Beliau dalam masa yang sama, turut menasihatkan orang ramai yang berniat untuk melakukan ibadah haji dan umrah agar berhati-hati dalam membuat pemilihan syarikat agensi pelancongan kerana pakej haji swasta tidak murah.

Jika perlu pergi lawat pejabat pengurusan untuk lihat sendiri operasi syarikat terbabit

“Pastikan ejen yang dipilih mempunyai sejarah atau rekod prestasi yang baik dan boleh dipercayai. Kalau perlu pergi melawat pejabat dan tengok sendiri operasi mereka. Jangan hanya tumpu kepada harga yang menarik dan berurusan melalui telefon sahaja walaupun yang mengesyorkan itu kawan baik kita.

“Begitu juga dengan badal haji. Kita perlu faham bahawa syarat untuk Arab Saudi sendiri tunai haji adalah ketat dan mereka perlu ambil pakej yang harganya paling rendah RM12,000.

‘Jangan gopoh, periksa dahulu’

“Jadi kalau ada tawaran badal haji yang terlalu rendah, jangan gopoh, periksa dahulu siapa yang akan melaksanakan badal haji ini,” katanya lagi.

Jika dilihat pada rekod, mana-mana syarikat pelancongan boleh membuat pemohonan untuk menjadi PJH yang berlesen serta akan dipilih secara tahunan apabila memenuhi syarat yang ditetapkan.

Antaranya seperti berpengalaman dalam mengendalikan umrah tiga tahun berturut-turut dan mempunyai rekod Bank Negara melalui Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS).

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.