fbpx

Gadis 14 Tahun Di Pulau Pinang Ditahan, Culik Bayi Kerana Terlalu Comel, Siap Mengaku Anak Sendiri

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Polis menahan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang juga suspek utama dan empat lagi individu dalam kejadian melarikan seorang bayi perempuan di sebuah pangsapuri di Bukit Tengah, Pulau Pinang pada Selasa lalu (23 Ogos).

Kelima-lima individu yang terlibat itu ditahan dalam serbuan di dua lokasi iaitu di sebuah pondok di Machang Bubok dan sebuah rumah di Kulim, kedah.

Foto: Kosmo

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Tan Cheng San berkata, polis menjalankan serbuan sejurus menerima laporan daripada ibu kepada bayi perempuan tersebut berhubung kejadian anaknya dilarikan oleh cucu pengasuh.

Dibawa lari suspek ketika pengasuh sedang solat

“Pada ketika itu, ibu mangsa mahu mengambil anaknya dari rumah pengasuh pada jam 5.30 petang sebelum pengasuh berusia 65 tahun memberitahu bahawa cucu perempuannya berusia 14 tahun membawa lari mangsa (bayi perempuan) ketika dia sedang solat.

“Ibu mangsa kemudian bertanya kepada pengawal keselamatan dan dimaklumkan suspek mendukung mangsa dengan berjalan kaki dan kemudian menunggang motosikal. Ibu mangsa cuba menghubungi suspek namun tidak berjaya lalu dia membuat laporan polis,” katanya pada sidang media, hari ini.

Suspek utama dan teman lelakinya berjaya ditangkap

Jelas Tan Cheng, pihak polis kemudiannya membuat tangkapan ke atas suspek utama dan teman lelakinya berusia 18 tahun, termasuk rakan teman lelaki suspek yang juga berusia 18 tahun di sebuah pondok di Machang Bubok pada jam 11.50 malam, hari sama.

“Berpandukan dengan tangkapan ini membawa polis ke sebuah rumah di Kulim yang mana menjadi tempat bayi perempuan itu berada.

“Siasatan mendapati suspek utama membawa bayi perempuan itu di pondok di Machang Bubok terlebih dahulu, sebelum bapa tiri kepada teman lelaki suspek berusia 30 tahun datang dengan memandu van kilang, kemudian mengambil mangsa (bayi perempuan) pergi ke sebuah rumah di Kulim.

“Ketika serbuan di Kulim, bayi itu dijaga ibu kepada teman lelaki suspek yang berusia 43 tahun dan polis menahan kelima-lima mereka untuk siasatan lanjut,” katanya lagi.

Kesemua suspek tiada rekod jenayah lampau

Tambahnya, kesemua suspek itu yang tiada rekod jenayah lampau kini direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Suspek utama guna alasan larikan bayi kerana terlalu comel

“Siasatan ke atas suspek utama memaklumkan dia melarikan bayi itu kerana dia suka budak berkenaan kerana terlalu comel.

“Dalam pada itu, dia turut mendakwa bayi itu adalah anaknya hasil hubungan dengan teman lelakinya. Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui motif sebenar, selain ia mempunyai kaitan dengan sindiket penjualan bayi atau sebaliknya,” ujarnya.

Bayi perempuan itu kini menerima rawatan di HBM

Sementara itu, bayi yang berjaya diselamatkan oleh polis itu sedang menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM).

Berdasarkan maklumat, bayi perempuan itu dijaga oleh pengasuh yang juga nenek kepada suspek utama sejak 8 bulan lalu dengan bayaran sebanyak RM500 pada setiap bulan. Selain bayi itu, terdapat juga tiga lagi kanak-kanak lain dijaga pengasuh berkenaan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.